SANDAKAN, SABAH – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menerusi Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Siri 01 untuk kategori usir melalui laut telah mengusir seramai 129 PATI dari Filipina kembali ke negara asal.
Program pemindahan itu telah dilaksanakan di Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina, semalam.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusoff memperincikan jumlah keseluruhan itu melibatkan tahanan lelaki seramai 81 orang, perempuan (25); kanak-kanak 12 tahun ke bawah (17); dan kanak-kanak berumur 23 bulan ke bawah (6) orang.
“Selain itu, jumlah pecahan jantina bagi kanak-kanak dalam pengusiran kali ini adalah melibatkan enam orang kanak-kanak dibawah 23 bulan dan 17 orang kanak-kanak dari 23 bulan ke bawah sehingga 12 tahun.
“Bagi tahanan dewasa purata umur adalah dari 12 tahun sehingga 70 tahun. Kanak-kanak yang terlibat dengan penghantaran pulang adalah bersama ibubapa atau penjaga masing-masing.
“Kesemua tahanan pada kali ini
diusir melalui laut dengan menggunakan pengangkutan Feri MV Antonia 1,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Disamping itu, Sitti Saleha turut menjelaskan
tahanan PATI yang terlibat pada kali ini hanyalah tahanan warganegara Filipina dari Depot Imigresen Tawau sahaja.
Menurutnya, kesemua PATI yang ditahan di Depot Imigresen telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.
Katanya, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.
Beliau turut mengingatkan mana-mana warga asing untuk memastikan mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan (untuk bekerja di negeri Sabah) terlebih dahulu sebelum masuk ke negara ini.
“Semua agensi penguatkuasaan di negeri Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” katanya.