PUTATAN: Sebanyak 30 ekor lembu korban telah disumbangkan kepada pelbagai jabatan kerajaan dan masjid-masjid dalam kawasan Parlimen Putatan bagi menyambut Hari Raya Aidiladha tahun ini.
Majlis penyerahan lembu korban tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya di sini, hari ini.
Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Erwanshah Abdul Basir, bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) Penampang, ASP Farid Hj. Sairi yang mewakili Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk menerima sumbangan tersebut.
Dalam pada itu, Polis Penampang dalam satu kenyataan menyifatkan, sumbangan lembu korban tersebut merupakan sebagai usaha memperkukuh semangat kebersamaan serta memperingati pengorbanan dalam Islam.
“Seluruh warga kerja Polis Penampang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas sumbangan bagi menjayakan program ibadah korban peringkat IPD Penampang yang berlangsung pada 7 Jun 2025 kelak,” jelas mereka dalam satu kenyataan di sini, hari ini.






