Peruntukan RM15 Juta Diumum PMX Jamin Kelangsungan Dapur Siswa UMS

Peruntukan RM15 Juta Diumum PMX Jamin Kelangsungan Dapur Siswa UMS

0
SHARE

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berhubung penyaluran peruntukan sebanyak RM15 juta bagi pelaksanaan inisiatif makanan percuma dan bank makanan, Dapur Siswa MADANI, yang bertujuan menjaga kebajikan mahasiswa di seluruh negara.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Raman Noordin berkata, peruntukan itu membuktikan keprihatinan serta komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan keperluan asas pelajar, khususnya makanan, terus terpelihara.

Menurutnya, inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan diperluaskan ke seluruh Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) amat bertepatan dalam menangani isu ketidakjaminan makanan dalam kalangan mahasiswa.

Katanya, usaha berkenaan secara tidak langsung membantu pelajar menumpukan sepenuh perhatian kepada pembelajaran dan pembangunan diri tanpa dibebani masalah kebajikan asas sepanjang tempoh pengajian.

Beliau berkata, selari dengan pelaksanaan inisiatif itu, UMS melalui Pusat Pengurusan Non Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF) telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Dapur Siswa di dua kolej kediaman di kampus induk Kota Kinabalu yang mula beroperasi pada 24 November 2025.

“Ketika ini, Dapur Siswa di Kolej Kediaman UMS Kampus Antarabangsa Labuan sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada Februari 2026 sebagai sebahagian usaha memperkukuh jaringan sokongan kebajikan pelajar,” katanya.

Beliau menambah, inisiatif berkenaan turut dirancang untuk diperluaskan ke Fakulti Pertanian Lestari, Sandakan bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara lebih menyeluruh dan inklusif.

Raman berkata, bagi menjamin kelangsungan operasi Dapur Siswa, pelbagai kempen turut dilaksanakan termasuk Kempen 1 Staf 1 Kampit Beras dan penubuhan Tabung Amanah Dapur Siswa, yang setakat ini berjaya mengumpul 1,150 kilogram beras dan memberi manfaat kepada kira-kira 3,500 pelajar, majoritinya daripada golongan B40.