KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah memperkukuh kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras kegiatan perjudian dalam talian yang semakin berleluasa, khususnya melibatkan golongan belia dan pelajar.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata isu perjudian dalam talian memberi kesan serius dari segi sosial, kewangan dan keselamatan masyarakat, justeru memerlukan tindakan bersepadu pelbagai agensi.
“Perjudian dalam talian bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah memberi kesan besar kepada keluarga dan masa depan generasi muda.
“Kerajaan negeri memandang perkara ini dengan sangat serius,” katanya selepas menerima kunjungan Pasukan Penguatkuasa MCMC Sabah di pejabatnya pada Selasa.
Menurut beliau, MCMC berperanan menyekat laman web, aplikasi dan kandungan berkaitan perjudian, manakala PDRM bertanggungjawab menjalankan siasatan, tangkapan serta pendakwaan terhadap individu dan sindiket terlibat.
“Kerjasama rapat antara MCMC dan PDRM amat penting bagi memastikan tindakan penguatkuasaan lebih berkesan, termasuk membanteras sindiket yang beroperasi secara rentas sempadan,” katanya.
Dalam masa sama, James berkata kementeriannya akan memperkukuh pendidikan dan kesedaran digital dalam kalangan pelajar, ibu bapa dan guru berkaitan risiko perjudian dalam talian serta keselamatan siber.
Beliau turut menyeru masyarakat menyalurkan aduan berkaitan perjudian dalam talian kepada MCMC dan PDRM melalui saluran rasmi bagi membantu usaha penguatkuasaan.






