PETALING JAYA: Konsert Nostalgia New Year’s Eve yang berlangsung di Le Méridien Petaling Jaya berjaya mencipta kelainan apabila menawarkan pengalaman sambutan ambang tahun baharu yang eksklusif, selesa dan penuh kehangatan dalam suasana tertutup baru-baru ini.
Konsert anjuran bersama Universal Music Malaysia itu menampilkan persembahan istimewa daripada Ernie Zakri, Syamel serta DJ Fuzz, sekali gus memberi alternatif baharu kepada sambutan Tahun Baharu yang lazimnya diadakan secara terbuka.
Syamel menyifatkan penganjuran konsert secara dalaman itu sebagai satu pengalaman baharu dan bermakna buat dirinya, memandangkan ia merupakan kali pertama beliau terlibat dalam sambutan Tahun Baharu yang berlangsung di ruang tertutup.
Menurutnya, suasana konsert yang lebih tenang, teratur dan selesa memberi dimensi berbeza ketika membuat persembahan, sekali gus membolehkan peralihan ke tahun baharu diraikan tanpa kesesakan dan hiruk-pikuk.
Sementara itu, Ernie Zakri mengakui pada awalnya berasa gusar kerana konsert diadakan di dalam ballroom, namun kebimbangan tersebut terlerai apabila sorakan penonton membuktikan ‘vibe’ persembahan tetap dirasai seperti konsert terbuka.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur atas kepercayaan yang diberikan, sambil menyifatkan Nostalgia New Year’s Eve sebagai projek mencabar tetapi amat membahagiakan buat dirinya dan Syamel.
Konsert tersebut dilengkapkan dengan sajian muzik bertenaga dan bernuansa nostalgia oleh DJ Fuzz, sekali gus menjadikan sambutan ambang tahun baharu itu satu pengalaman eksklusif dan penuh kenangan buat semua yang hadir.






