KOTA KINABALU: Sebanyak tujuh acara utama telah disusun bagi memeriahkan Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-74 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah yang akan berlangsung pada bulan depan (Jun).
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, persiapan rapi telah dibuat sejak awal Februari oleh Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Pelaksana bagi memastikan setiap acara berjalan dengan lancar dan penuh istiadat.
Beliau berkata, sambutan ulang tahun rasmi ini merupakan acara tahunan negeri yang bukan sahaja bertujuan memberi penghormatan kepada TYT, tetapi juga mencerminkan kesatuan serta semangat cintakan negeri dalam kalangan rakyat.
“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Induk, saya amat berbangga dengan komitmen semua pihak yang terlibat dalam menjayakan sambutan ini. Kita mahu acara ini bukan sekadar simbolik, tetapi benar-benar dirasai oleh rakyat,” katanya dalam sidang media khas di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, di sini pada Isnin
Menurut beliau, antara acara utama yang menjadi tumpuan ialah Istiadat Perbarisan dan Perarakan yang akan berlangsung di Padang Merdeka, Kota Kinabalu.
Acara kemuncak itu bakal menyaksikan penyertaan lebih 80 kontinjen terdiri daripada jabatan kerajaan, agensi swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi dan pelajar sekolah.
“Penyertaan yang begitu menyeluruh ini melambangkan semangat perpaduan dan patriotisme rakyat Sabah terhadap kepimpinan negeri,” katanya.
Selain itu, raptai penuh akan dijalankan beberapa hari sebelum acara utama untuk memastikan kelancaran perbarisan, dengan beliau sendiri akan hadir menyaksikan dan menilai tahap kesiapsiagaan semua pihak yang terlibat.
“Saya akan hadir semasa raptai penuh sebagai komitmen terhadap kejayaan sambutan ini. Kita mahu setiap perincian berjalan sempurna,” katanya.
Turut termasuk dalam tujuh acara utama ialah penganjuran Sidang Media Khas, yang kini menjadi acara rasmi sambutan bagi membolehkan komunikasi langsung antara Jawatankuasa Pelaksana dan pihak media.
Beliau berkata, sidang media tersebut penting untuk memastikan maklumat tepat disampaikan kepada rakyat, di samping menghargai peranan media dalam menjayakan program kerajaan.
Acara keempat ialah Majlis Ramah Mesra dan Jamuan Negeri yang menghimpunkan pemimpin-pemimpin negeri, wakil diplomatik, ketua jabatan dan wakil-wakil masyarakat dalam suasana penuh muhibah dan penghormatan.
Majlis itu juga menjadi wadah meraikan jasa dan sumbangan pelbagai pihak dalam memacu pembangunan serta kestabilan negeri Sabah.
Acara kelima pula berbentuk keagamaan iaitu Program Kerohanian dan Doa Selamat yang diadakan sebagai tanda kesyukuran serta mendoakan kesejahteraan TYT, Yang Berbahagia Toh Puan serta seisi keluarga.
Dr. Joachim berkata, elemen kerohanian penting bagi menyemai nilai-nilai keharmonian dan keinsafan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negeri ini.
Bermula awal Jun nanti, pihak berkuasa tempatan di seluruh negeri turut akan melaksanakan acara keenam iaitu pemasangan papan iklan ucapan ulang tahun di kawasan masing-masing sebagai tanda penghargaan dan sokongan terhadap kepimpinan TYT.
“Inisiatif ini bukan sahaja memberi suasana sambutan di peringkat daerah, tetapi juga menonjolkan komitmen PBT terhadap perpaduan negeri,” katanya.
Acara ketujuh pula melibatkan pengisian berbentuk komuniti dan kebudayaan, antaranya persembahan kesenian, aktiviti hiburan rakyat serta program interaktif yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.
“Acara ini bukan sahaja memperkukuh jati diri rakyat Sabah, tetapi juga memupuk semangat kekitaan dan kebanggaan terhadap warisan negeri,” tambah beliau.
Sehubungan itu, beliau menjemput seluruh rakyat Sabah untuk hadir beramai-ramai ke Padang Merdeka pada Jun ini bagi menyaksikan sendiri acara utama sambutan yang akan bermula seawal jam 6 pagi.
“Saya menyeru semua rakyat tanpa mengira latar belakang untuk bersama-sama memeriahkan sambutan ini sebagai tanda penghormatan dan kasih sayang kepada pemimpin tertinggi negeri kita,” katanya.
Beliau turut mengajak rakyat agar sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan TYT, Yang Berbahagia Toh Puan dan keluarga agar sentiasa dilindungi dan diberkati.
“Kepimpinan TYT yang berwibawa, prihatin dan bersifat menyeluruh dalam menjaga kebajikan rakyat wajar dijadikan teladan oleh semua,” katanya.






