‘New Adele’ Generasi Z: Sienna Spiro Takluki Malaysia dengan Die On This...

‘New Adele’ Generasi Z: Sienna Spiro Takluki Malaysia dengan Die On This Hill

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Sienna Spiro, penyanyi dan penulis lagu dari London, kini muncul sebagai antara bakat paling menjanjikan dalam industri muzik global, dengan vokal soulful dan lirik penuh emosi yang membuatkannya digelar “New Adele” Generasi Z oleh peminat antarabangsa.

Sepanjang setahun lalu, Sienna mencipta pelbagai pencapaian membanggakan, termasuk terpilih sebagai Vevo DSCVR Artists to Watch 2026 serta pelancaran EP sulung Sink Now, Swim Later pada awal 2025 yang menerima sokongan artis ternama seperti SZA, Mark Ronson dan FINNEAS.

Single terdahulunya, “Maybe.” mencatat lebih 125 juta penstriman global, selain tersenarai dalam carta viral Spotify di beberapa negara, sekali gus membuka laluan kepada penampilan di The Late Show with Stephen Colbert serta penglibatan dalam jelajah artis antarabangsa seperti Teddy Swims dan Sam Smith.

Di Malaysia, Sienna mencetuskan fenomena tersendiri menerusi single terbaharunya, “Die On This Hill”, terbitan Capitol Records, apabila lagu tersebut mencatat kedudukan 12 di Spotify Top 50 Malaysia dan 41 Spotify Top 50 Global.

Populariti lagu itu turut dipacu oleh trend video cover dan interpretasi kreatif di TikTok serta Instagram, yang dikongsi oleh artis dan pempengaruh tempatan, sekali gus menjadikannya antara balada antarabangsa paling tular di Malaysia ketika ini.

Dilancarkan pada Oktober 2025, “Die On This Hill” merupakan kesinambungan kepada single “You Stole the Show” yang sebelum ini menerima pujian media antarabangsa, termasuk CLASH yang mengangkat Sienna sebagai bona fide breakout talent.

Menurut Sienna, lagu berkenaan mengisahkan cinta yang degil dan sukar dilepaskan, meskipun individu tersebut sedar bahawa mereka sepatutnya pergi, sekali gus memperlihatkan keupayaannya menterjemahkan kisah patah hati ke dalam karya yang jujur dan dekat di jiwa pendengar.

Diterbitkan bersama barisan penerbit tersohor dunia serta diperkayakan dengan susunan orkestra pemenang Anugerah GRAMMY®, lagu ini mengukuhkan lagi kedudukan Sienna Spiro sebagai salah satu suara baharu paling berpengaruh dalam landskap muzik global masa kini.