SEMPORNA: Sebuah bot nelayan musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran di perairan hadapan Sri Gaya, di sini, petang semalam, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Atas Air Semporna, PBKI Akimullah Adan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.27 petang sebelum sepasukan enam anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
“Jentera bomba tiba di lokasi pada jam 5.41 petang dan mendapati sebuah bot nelayan sedang terbakar sepenuhnya di perairan terbuka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba bertindak pantas menjalankan operasi pemadaman menggunakan Pam Angkut GP10/10 dengan satu aliran sepanjang 100 kaki, menggunakan sumber air terbuka dari laut.
“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 6.00 petang dan seterusnya operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.32 malam,” katanya.
Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan dan operasi pemadaman dijalankan sepenuhnya oleh anggota BBP Atas Air Semporna menggunakan dua buah bot aluminium.
Punca kejadian serta jumlah kerugian akibat kebakaran masih dalam siasatan.






