Konsert ‘Liza Hanim 27 Years Journey In Concert’ bakal berlangsung 4 Februari...

Konsert ‘Liza Hanim 27 Years Journey In Concert’ bakal berlangsung 4 Februari Tahun Hadapan

0
SHARE
Liza hanim
Penyanyi terkenal, Liza Hanim ( Sumber Foto: Ihsan LH Media Sdn Bhd )

KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal, Liza Hanim pemilik nama sebenar Haliza Hanim Abdul Halim, 43, bakal menemui semula peminat Konsert Liza Hanim 27 Years Journey In Concert pada 4 Februari 2024.

Konsert berskala besar anjuran LH Media SB dengan penganjur bersama Laugh Out Loud Entertainment terbabit akan diadakan bertempat di Zepp KL.

Pengarah Urusan LH Media Sdn Bhd, Shahrin Samsudin berkata sebagai penganjur bersama, pihaknya tidak akan melepaskan peluang menganjurkan konsert terbabit.

Menurutnya, ini kerana penjenamaan Liza Hanim sebagai anak seni dan penyanyi dengan imej bersih dan bakatnya yang sentiasa disanjung peminat.

“Ini akan menjadi detik yang tepat buat Liza sebagai penyanyi yang sudah 27 tahun bergelumang dengan dunia seni mempunyai sebuah konsert khas buat dirinya dan peminat.

“27 tahun juga dirasakan sudah sangat signifikan dan cukup matang buat seorang penghibur berkaliber seperti Liza mempamerkan kualiti dan segudang pengalamannya.

“Justeru kami sangat teruja dan berbesar hati untuk melihat Liza Hanim 27 Years Journey In Concert terlaksana dengan sukses dan meninggalkan momen bukan hanya kepada pihak kami tetapi seluruh peminat yang sudah sekian lama ingin berada dalam ruang konsert milik penyanyi pujaan mereka ini,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sementara itu, Liza dalam kenyataan media yang sama berkata beliau sangat teruja untuk mengadakan konsert setelah 27 tahun berkecimpung dalam dunia seni nyanyian.

“Lebih mengujakan selain akan mendendangkan lagu-lagu popular dan malar segar dahulu, saya akan membawakan single terbaru yang dihasilkan oleh komposer hebat, Ajai iaitu Mengertilah.

“Liza Hanim 27 Years Journey In Concert bukan sekadar tentang saya akan mendendangkan lagu-lagu layaknya sebuah konsert.

“Tetapi adalah tentang pertemuan intim saya bersama peminat setia sejak 27 tahun ini serta berkenalan dengan peminat baharu yang baru mengenal Liza Hanim lewat single atau pembabitan saya dalam beberapa program seperti GV.

“Inilah momen yang saya tunggu sebagai lambang apresiasi kepada semua yang tak jemu menghargai dan menyokong karier seni saya,” katanya.