KUALA LUMPUR – Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan berhubung kes rasuah RM2 juta dihadapi Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bakal dikeluarkan pada pagi ini.
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-70 semalam telah didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan Tan Sri Chai Kin Kong yang juga Pengarah AKSB melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan dan diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.
Tengku Adnan, atau lebih dikenali sebagai Ku Nan juga didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua (2) tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim manakala peguam Datuk Tan Hock Chuan mengetuai pasukan pembelaan.
Sepuluh wartawan daripada setiap organisasi media terpilih, diberikan pas untuk berada di bilik mahkamah manakala pas untuk mengikuti prosiding menerusi pautan video di bilik lain diberikan kepada 20 lagi wartawan.