Tidak Sempat Mengajar Mengaji, Wanita Bersama Bapa Maut Dihempap Kontena

Tidak Sempat Mengajar Mengaji, Wanita Bersama Bapa Maut Dihempap Kontena

0
SHARE

KOTA KINABALU – Hasrat seorang wanita untuk mengajar mengaji selepas selesai bekerja tidak kesampaian apabila dia bersama bapanya maut selepas Toyota Avanza dinaiki mereka dihempap sebuah lori treler bersama kontena yang terbalik di Jalan Pelabuhan Sepanggar Bay, di sini, petang Ahad.

Wanita berusia 24 tahun itu bersama bapanya, 53, tersepit di dalam kenderaan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Bapanya baru sahaja menjemput wanita berkenaan selepas selesai bekerja di sebuah kilang perabot dan mereka sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di Sepanggar.

Menurut ahli keluarga, wanita itu sepatutnya mengajar mengaji selepas bekerja pada hari berkenaan, namun hasrat tersebut tidak kesampaian.

Berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, kejadian dipercayai berlaku ketika kerja mengangkat sebuah kontena dari tepi jalan utama ke atas treler sedang dijalankan.

Menurut keterangan saksi, berlaku ketidakseimbangan ketika proses itu sehingga menyebabkan lori bersama kontena terbalik lalu menghempap kereta mangsa yang sedang melalui jalan berkenaan.

Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 6.31 petang sebelum mengerahkan 26 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu ke lokasi.

Pasukan bomba tiba pada jam 7.01 malam dan memulakan operasi menyelamat empat minit kemudian.

Bagaimanapun, usaha mengeluarkan kedua-dua mangsa memerlukan bantuan kren bagi mengangkat kontena yang menghempap kenderaan tersebut.

Dua kren tiba pada jam 9.21 malam sebelum kerja mengalihkan kontena dijalankan. Anggota bomba kemudian menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit.

Kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Operasi diketuai PBK I Christy Foo dan PBK I Mohd Zulfadli Usman, dengan bantuan 17 anggota polis serta petugas KKM.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.30 malam selepas kawasan kejadian dipastikan selamat.

Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan.