20,000 Tetamu Meriahkan Sambutan Aidilfitri Papar

20,000 Tetamu Meriahkan Sambutan Aidilfitri Papar

0
SHARE
Armizan
Hajiji (lima dari kanan) diiringi Armizan (lima dari kiri), Ghulamhaidar (dua dari kanan), Safar (tiga dari kanan) dan Mohd Fuad (tiga dari kiri) semasa penyerahan replika kunci Rumah SMJ kepada para penerima ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

PAPAR, SABAH – Cuaca panas tidak menghalang kemeriahan Majlis Sambutan Aidilfitri Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Ghulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar.

Dihadiri kira-kira 20,000 orang tetamu, majlis tersebut turut disajikan dengan pelbagai juadah selain cabutan pengunjung bertuah serta persembahan hiburan.

Paling mencuri perhatian ialah penampilan khas oleh Raja Pop Negara Datuk Jamal Abdillah dengan rangkaian lagu popular antaranya, “Salam Aidilfitri”, “Gadis Melayu”, “Kehebatan Cinta”, “Ke Mana Ku Bawa Hati Yang Rindu” dan banyak lagi.

Tinjauan di SMK Pengalat mendapati, walaupun undangan bermula jam 9 pagi, kebanyakan tetamu hadir lebih awal bagi mengelakkan kesesakan dan cuaca panas.

Antara yang ditemui, Guru Besar SK Pengalat Kecil, Rosmadi Ahmad, 51, berpendapat majlis berskala besar itu bukan sahaja menjadi medan pertemuan sanak saudara jauh dan dekat, malah berupaya mengukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan warga Papar.

“Penganjuran majlis sangat terbaik, ia juga dapat menyatukan silaturahim seluruh warga Daerah Papar di Aidilfitri ini.

“Syabas dan tahniah kepada YB Datuk Amizan dan Datuk Seri Haji Ghulam atas inisiatif ke arah perpaduan ini….Terbaiklah Datuk,” ujarnya yang tiba di lokasi pada jam 8.45 pagi.

Berbeza dengan pesara Tentera Darat Malaysia, Mohd Zulkaedah Rohani, 43, yang kali pertama menghadiri majlis berkenaan menyatakan rasa bangga sebagai warga Papar kerana dapat meraikan Aidilfitri bersama-sama para pemimpin.

“Rasa bangga dapat bersama-sama dalam majlis Hari Raya yang dihadiri Ketua Menteri Sabah dan pemimpin-pemimpin lain.

“Ini peluang saya dan keluarga berjumpa live dengan wakil rakyat kerana saya baharu saja menetap di sini….majlis ini meriah dan seronok,” kata mantan Pegawai Waran yang kini menetap di Taman Aman Suria.

Berbaloi dengan usaha bersiap dan bertolak seawal jam 7.30 pagi, pelajar Tahun 2 SK Pengalat Besar, Nur Qistina Supian sangat gembira apabila mendapat duit raya daripada Armizan.

Dia yang ditemani ibu bapanya tidak pernah terlepas peluang untuk sama-sama meraikan Aidilfitri bersama pemimpin kesayangan warga Papar setiap tahun.

Sementara itu, Armizan ketika ditemui media berkata sambutan yang diadakan setiap tahun itu bertujuan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan pelbagai kaum di negeri ini.

“Sempena Syawal ini, saya bersama YB Datuk Seri Ghulam seperti biasa menganjurkan Majlis Sambutan Aidilfitri untuk semua warga Papar, kenalan, rakan taulan di seluruh Sabah.

“Majlis ini turut dihadiri YAB Ketua Menteri dan saya mengucapkan ribuan terima kasih atas kehadiran semua tetamu,” kata beliau.

Pada majlis itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyampaikan replika kunci Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada penerima, Chong Nyuk Lan @ Lucy (DUN Limbahau), Faizal Judin (DUN Kawang) dan Mohd Azrul Osman (DUN Pantai Manis).

Turut disampaikan Hajiji, duit raya kepada 10 orang asnaf dan bakul makanan sumbangan 99 Speedmart sambil diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong dan Pegawai Daerah, Mohd Fuad Abdullah.

Sesungguhnya, majlis seumpama bukan sahaja mendukung perpaduan, tetapi yang paling mustahak adalah mempertemukan pemimpin secara bersemuka dengan rakyat akar umbi. Ibarat pepatah, “tak kenal maka tak cinta.” — JABATAN PENERANGAN SABAH