PENJENAMAAN SEMULA HQE2 SEBAGAI PUSAT JANTUNG NEGARA SABAH BUKTI KEPRIHATINAN PERSEKUTUAN: KM...

PENJENAMAAN SEMULA HQE2 SEBAGAI PUSAT JANTUNG NEGARA SABAH BUKTI KEPRIHATINAN PERSEKUTUAN: KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Hajiji (tengah) dalam Majlis Sambutan Aidilfitri MP Papar dan ADUN Kawang ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

PAPAR, SABAH – Kerajaan negeri menyifatkan pengumuman mengenai penjenamaan semula Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2) sebagai Pusat Jantung Negara Sabah bagi memenuhi keperluan rawatan jantung sebagai bukti keprihatinan kerajaan Persekutuan terhadap rakyat negeri ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata pihaknya turut menzahirkan penghargaan terhadap pengumuman terbabit oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

“Kita mengucapkan terima kasih banyak kepada kerajaan Persekutuan khususnya kepada Perdana Menteri kerana memahami keperluan negeri Sabah dan juga kepentingan rakyat kita di wilayah timur ini.

“Jadi dengan pengumuman itu, kita amat senang hari kerana ini akan memudahkan pesakit jantung kita nanti tidak perlu dihantar ke Kuala Lumpur sebaliknya boleh dilakukan di Kota Kinabalu.

“Tentu sekali ini yang kita mahukan kerana aspek kesihatan ini cukup penting bagi kita selain pendidikan dan sebagainya.

“Kerajaan Persekutuan amat memahami dan ini amat kita hargai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri MP Papar dan ADUN Kawang 2024 bertempat di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengalat, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali dan Pengarah Yayasan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.

Semalam, media melaporkan Anwar berkata kerajaan Persekutuan memperuntukkan dana sebanyak RM 80 juta bagi menaik taraf HQE2 menjadi hospital pakar jantung.

Menurutnya, ia menjadikan Sabah memiliki kemudahan rawatan pakar jantung yang kedua negara selepas Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur.