UMS, UNIMAS Bakal Laksana Kajian Penstabilan Harga Sabah, Sarawak dan Labuan Dalam...

UMS, UNIMAS Bakal Laksana Kajian Penstabilan Harga Sabah, Sarawak dan Labuan Dalam Tempoh Enam Bulan 

0
SHARE
Armizan
Armizan ketika ditemui pemberita ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

PAPAR, SABAH – Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) akan melaksanakan Kajian Penstabilan Harga Sabah, Sarawak dan Labuan yang dijadualkan berlangsung dalam tempoh enam bulan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata kedua-dua universiti terbabit telah
mengemukakan kertas cadangan awal mengenai kajian tersebut pada 19 lepas.

Menurutnya, kajian terbabit bertujuan untuk
mengenal pasti senario semasa serta isu jurang harga barang asas terpilih di Sabah, Sarawak dan Labuan termasuk mengkaji dinamika perbezaan harga serta rantaian bekalan.

“Kajian ini dijangka akan berlangsung selama enam bulan dan laporan insepsi kajian tersebut akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penstabilan pada bulan Ogos depan.

“Kajian tersebut melibatkan lima kawasan utama di Sabah dan Labuan iaitu bahagian Kudat, bahagian Pantai Barat, bahagian pedalaman, bahagian Sandakan serta bahagian Tawau dan Labuan.

“Manakala di Sarawak, kajian akan melibatkan tiga bahagian Sarawak iaitu tiga bahagian di utara Sarawak iaitu Miri, Bintulu,Limbang, empat bahagian di Sibu, Sarikei, Mukah dan Kapit serta lima bahagian di barat Sarawak iaitu Kuching, Kota Samarahan, Serian, Sri Aman dan Betong.

“Hasil kajian juga akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Penstabilan Harga sebelum ia diangkat untuk perhatian Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri MP Papar dan ADUN Kawang 2024 bertempat di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengalat, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Armizan turut berkata hasil kajian terbabit juga akan dipanjangkan kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak serta Jabatan Pembangunan Wilayah Persekutuan.

Katanya, ia sebagai langkah jangka panjang bagi merangka strategi dan pelan tindakan untuk menstabilkan harga barang keperluan terpilih.

Selaim itu, katanya amat penting mengambil kira isu harga terkait secara langsung dengan isu keterjaminan makanan dan sumber bekalan domestik dan import.

“Diharapkan dapatan kajian ini kelak juga boleh menjadi panduan kepada kerajaan negeri terbabit dalam konteks mempertimbangkan penggunaan tanah bagi tujuan pertanian, penternakan dan sekuriti makanan secara keseluruhannya.

“Dengan adanya sumber bekalan makanan tempatan, isu kebergantungan kepada sumber bekalan makanan dari Semenanjung Malaysia yang melibatkan implikasi kos logistik dapat dikurangkan,” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan Jawatankuasa Penstabilan Harga Sabah, Sarawak Dan Wilayah Persekutuan Labuan, bersetuju untuk melaksanakan kajian penstabilan harga barangan dan perkhidmatan bagi ketiga-tiga wilayah itu.

KPDN dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan terbabit dibuat dalam mesyuarat pertama jawatankuasa berkenaan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof pada 7 Mac lepas.