KPDN Sabah Pecahkan Premis Seleweng Minyak Diesel Minintod

KPDN Sabah Pecahkan Premis Seleweng Minyak Diesel Minintod

0
SHARE
Kpdn
Gudang minyak diesel yang diseleweng ( Sumber Foto: Ihsan KPDN Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah telah menumpaskan kegiatan penyelewengan barang kawalan iaitu minyak diesel dalam satu operasi di sebuah stor tidak bernombor di kawasan Minintod, Jalan Panglima Banting, Penampang pada Khamis.

Dalam serbuan sekitar jam 4.30 petang itu, pasukan serbuan telah menjumpai dan menyita sebanyak 7,380 liter minyak diesel yang disimpan dalam tiga tangki disyaki untuk dijual kepada industri.

Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata hos getah, mesin pump termasuk sebuah van jenama Toyota yang
yang disyaki digunakan untuk menyeleweng turut dirampas dengan nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM57,067.

“Seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai penjaga stor di lokasi serbuan turut ditahan dan diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan.

“Risikan telah dijalankan selama seminggu sebelum serbuan dijalankan. Berdasarkan keterangan awal, premis stor tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan minyak diesel di lokasi berkenaan.

“Sebagai tindakan lanjut, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan iaitu minyak diesel dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

“Siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.