Biadap!! Lima Lelaki Diberkas Gaduh Di Balai Polis Meru

Biadap!! Lima Lelaki Diberkas Gaduh Di Balai Polis Meru

0
SHARE
Tangkap layar (screenshot) video tular sekumpulan lelaki bergaduh di balai polis...

SHAH ALAM – Biadap, gambaran yang diberikan kepada sekumpulan lelaki yang berani bertindak memukul dan cuba menyerang polis di dalam balai. Polis akhirnya telah memberkas lima lelaki selepas bertumbuk di dalam Balai Polis Meru, Klang pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao yang dipetik Harian Metro mengesahkan insiden kekecohan dan pergaduhan itu membabitkan sekumpulan lelaki tempatan di balai polis itu kira-kira jam 9.40 malam.

“Siasatan awal mendapati, kejadian bermula apabila tiga lelaki tempatan hadir ke balai itu untuk membuat laporan polis. Namun, secara tiba-tiba mereka didatangi oleh lima lelaki lain.

“Situasi itu mencetuskan perbalahan antara kedua-dua pihak sehingga salah seorang daripada kumpulan lima lelaki itu bertindak memukul pengadu menggunakan sebatang besi.

“Kekecohan itu turut mengakibatkan kerosakan televisyen milik balai polis sebelum semua suspek melarikan diri dari lokasi itu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Susulan itu Vijaya berkata, pasukannya berjaya menangkap lima lelaki tempatan berumur 28 hingga 41 tahun bagi membantu siasatan.

“Dalam kes ini, kejadian dipercayai berpunca perselisihan faham antara kedua-dua belah pihak.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 324 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967, serta Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan Dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958.

“Kesemua tangkapan ditahan reman selama tiga hari sehingga esok (5 Mac) bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya.

Pada masa katanya, polis kini sedang giat mengesan beberapa lagi individu yang sudah dikenalpasti.

Beliau berkata, polis memandang serius kejadian ini kerana kejadian itu membabitkan gangguan ketenteraman di balai polis.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara atau balai polis berhampiran,” katanya.