KENINGAU, SABAH – Sepasang suami isteri yang bekerja sebagai penjual burger di pekan sini dicekup polis selepas disyaki mendera dua kanak-kanak lelaki berusia lima dan 13 tahun pada Khamis.
Kedua-dua mangsa didera secara fizikal menggunakan seterika, batang besi, sudu panas dan air panas sehingga mengalami kesan lecur dipercayai berlaki di sebuah rumah sewa atas kedai di pekan sini.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Garai berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang mengesyaki mangsa telah didera pada kira-kira jam 12 tengah hari Khamis.
Yampil berkata pengadu didatangi mangsa remaja ketika bermain snooker di salah sebuah kedai pada Selasa dan menyedari kesan-kesan luka dan lecur.
“Susulan laporan itu, polis menjalankan siasatan terhadap suspek iaitu seorang lelaki berusia 27 tahun berbangsa Suluk dan isterinya yang berusia 36 tahun berbangsa Bajau.
“Kedua-dua mangsa tidak ada pertalian saudara dengan pasangan suami isteri tersebut.
“Mangsa remaja merupakan anak tiri kepada wanita iaitu anak kepada bekas suaminya yang telah dipenjara atas kesalahan dadah.
“Mangsa remaja itu dijaga oleh ibu tirinya, tetapi telah berkahwin semula dengan suspek lelaki.
“Pasangan itu juga telah mengambil seorang kanak-kanak berusia lima tahun dari Sinsuran di Kota Kinabalu untuk dijadikan sebagai anak angkat mereka,” katanya.
Yampil berkata, kedua-dua suspek didapati mempunyai kes jenayah lampau berkait memiliki dan mengguna dadah.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kedua-dua suspek dirujuk mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.