TENOM, SABAH – Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta di berhampiran Restoran Yun Lee di Jalan Kemabong, sini, petang semalam.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah mendedahkan identiti mangsa sebagai Amir Mustafa berusia 55 tahun.
Sekumpulan enam anggota dan pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Tenom diketuai PBK II Mc Lean C Madis bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.28 petang.
“Kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan jenis Proton Iswara, Perodua Bezza yang bertembung dengan sebuah motosikal jenis Yamaha LC135.
“Penunggang motosikal dilaporkan meninggal dunia dilokasi disahkan oleh pegawai perubatan.
“Pasukan bomba bersama orang awam bertindak mengangkat kenderaan bagi mengeluarkan mangsa.
“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” kata seorang jurucakap bagi agensi.
Setelah memastikan tiada bahaya lain, pihak bomba menamatkan operasi pada jam 7.01 malam.