AirAsia Tersenarai Antara Lima Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia Dalam Penarafan ESG FTSE...

AirAsia Tersenarai Antara Lima Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia Dalam Penarafan ESG FTSE Russel

0
SHARE

SEPANG: AirAsia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju global dalam kelestarian industri penerbangan apabila disenaraikan antara lima syarikat penerbangan terbaik dunia dalam penilaian terkini penarafan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) oleh FTSE Russell.

Pencapaian itu mencerminkan kejayaan strategi kumpulan berkenaan dalam mengintegrasikan pengurusan risiko perubahan iklim, tadbir urus yang telus serta kecekapan operasi sebagai teras utama perniagaan.

Dalam penilaian ESG FTSE Russell yang terkini, syarikat penerbangan di bawah AirAsia menunjukkan prestasi memberangsangkan di bursa Malaysia dan Thailand bagi pencapaian tahun 2024.

Bagi tempoh penilaian tersebut, prestasi ESG syarikat penerbangan jarak dekat AirAsia dimasukkan dalam pendedahan Capital A dan dinilai oleh Bursa Malaysia, manakala AirAsia X serta Thai AirAsia masing-masing dinilai oleh Bursa Malaysia dan Bursa Saham Thailand.

Capital A mencatatkan peningkatan ketara dengan skor 4.0 daripada 5.0 berbanding 3.5 pada tahun sebelumnya, manakala AirAsia X (kod penerbangan D7) memperoleh skor 3.8. Sementara itu, Asia Aviation yang mengendalikan Thai AirAsia (kod penerbangan FD) meraih skor 3.9 pada tahun kedua penilaian.

Skor tersebut bukan sahaja meletakkan syarikat penerbangan AirAsia antara syarikat terkemuka di bursa masing-masing, malah menempatkan kumpulan itu sebagai antara prestasi terbaik apabila dibandingkan dengan syarikat penerbangan global lain yang dinilai menggunakan piawaian ESG FTSE Russell.

AirAsia turut dinilai melalui S&P Global Corporate Sustainability Assessment (CSA) yang menilai syarikat tersenarai awam dengan permodalan pasaran melebihi AS$1 bilion.

Dalam penilaian terkini berdasarkan prestasi tahun 2024, AirAsia memperoleh skor 45 peratus, melepasi purata industri penerbangan global sebanyak 37 peratus.

Mengukuhkan lagi pencapaian tersebut, AirAsia turut menerima dua pengiktirafan industri antarabangsa pada tahun 2025. Platform analisis penerbangan bebas dari Australia, 42kft.com, memberikan markah sempurna 10 dalam kesemua sembilan kategori penilaian, manakala AirlineRatings.com menamakan AirAsia sebagai antara tiga syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dalam Anugerah Kelestarian sulungnya.

Ketua Pegawai Kelestarian AirAsia, Yap Mun Ching berkata, usaha kelestarian yang dilaksanakan kumpulan itu telah menjadi sebahagian daripada operasi harian syarikat.

“Selama ini kami telah membina asas kukuh yang menyokong penarafan ESG kami, namun usaha kelestarian AirAsia melangkaui sebarang kriteria penilaian. Keputusan ini mencerminkan disiplin dan komitmen pasukan kami dalam mengintegrasikan kelestarian ke dalam operasi harian,” katanya.

Menurut beliau, AirAsia turut mempergiat langkah meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api serta pelaburan dalam teknologi rendah karbon yang bukan sahaja mengurangkan kos bahan api tetapi juga pelepasan karbon.

Selain itu, AirAsia turut memainkan peranan aktif dalam penggubalan dasar berkaitan perubahan iklim melalui penglibatan dalam Jawatankuasa Perlindungan Alam Sekitar Penerbangan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) serta mengetuai Pasukan Petugas CORSIA Malaysia.

Pada tahun 2025, AirAsia juga memperkenalkan ciri paparan pelepasan karbon bagi setiap tempat duduk melalui platform AirAsia MOVE ketika carian penerbangan, menggunakan data operasi sebenar bagi membantu penumpang membuat pilihan perjalanan yang lebih mesra alam.

Dalam aspek sosial pula, AirAsia merupakan penandatangan kepada Prinsip Pemerkasaan Wanita (WEPs) di bawah UN Women dan UN Global Compact serta menjadi antara anggota perintis WEPs Corporate Action Lab yang menyokong pelaksanaan dasar tempat kerja mesra keluarga bagi meningkatkan penyertaan tenaga kerja wanita di Malaysia selaras dengan Kerangka Ekonomi MADANI.