KOTA KINABALU, SABAH – Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk, Peter Anthony hari ini mendakwa Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor telah hilang majoriti.
Dalam pada itu, beliau menggesa Hajiji agar meletakkan jawatan dengan serta merta.
“Hajiji sudah tidak mempunyai majoriti yang cukup sebagai Ketua Menteri Sabah merujuk kepada Perkara 6(3) dibaca dengan Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri yang menyatakan bahawa Ketua Menteri sebagai Ketua Parti yang mendapat majoriti bilangan kerusi pada Pilihanraya Negeri ke-16 tahun 2020.
“Seterusnya bawah Perkara 7(1) Perlembagaan Negeri Sabah, ADUN N.12 Sulaman Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor hendaklah meletakkan jawatan serta-merta,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu berkata demikian dalam satu kenyataan bersama ADUN Limbahau selaku Timbalan Presiden KDM, Juil Nuatim dan ADUN Bandau, Wetrom Bahanda, yang memegang jawatan sama dalam parti.
“Parti KDM Sabah menyerahkan kepada kepada kebijaksanaan dan budi bicara Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Dr. Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin selaku Yang Di-Pertua Negeri Sabah untuk memutuskan pelantikan Ketua Menteri Sabah yang baru berdasarkan dengan apa yang termaktub di dalam Perlembagaan Negeri Sabah,” katanya.