PPD Sandakan Sasar GPD 4.99 Kebawah SPM 2024

PPD Sandakan Sasar GPD 4.99 Kebawah SPM 2024

0
SHARE
Juhar
Tun Juhar (depan,tengah) ketika bergambar kenangan bersama Munah (depan,kiri) dan rombongan - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sandakan menyasarkan Gred Purata Daerah (GPD) 4.99 ke bawah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Pegawai Pendidikan Daerah, Munah Nasri berkata, hal itu sebagai menyahut cabaran Lanskap Baharu Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri yang menyasarkan semua PPD menoktahkan kepala lima dalam peperiksaan SPM bagi meningkatkan lagi kualiti pendidikan.

“Kami memang banyak perancangan dari segi fizikal iaitu berhasrat agar PPD Sandakan mempunyai bangunan sendiri di masa akan datang, begitu juga dari segi pencapaian akademik berharap GPD SPM 2024 minima 4.99.

“Bagi pencapaian SPM, SMK Perempuan Sandakan merupakan antara 10 sekolah terbaik di Sabah manakala SMKA Tun Juhar muncul sekolah kedua terbaik di PPD Sandakan dan mencapai lulus penuh STPM walaupun baru dua tahun melaksanakan peperiksaan tersebut.

“Sandakan mempunyai 22 sekolah menengah, 66 sekolah rendah, enam sekolah berasrama harian, satu sekolah asrama desa dan dua sekolah vokasional,” katanya selepas kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, pada Rabu.

Munah memaklumkan pelbagai perancangan telah dan akan dilaksanakan dari segi pembangunan fasiliti dan akademik bagi meningkatkan lagi kualiti pendidikan serta pentadbiran di daerah itu.

Tujuan kunjungan tersebut adalah ingin memaklumkan perkembangan terkini pendidikan di bawah kendalian PPD Sandakan khususnya SMKA Tun Juhar. — JABATAN PENERANGAN SABAH