KOTA KINABALU, SABAH – Barisan Nasional (BN) – UMNO Sabah mengumumkan menarik sokongan dan mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan perkara terbabit dalam satu sidang media khas selepas satu mesyuarat diadakan di sini, malam ini.
Menurut Bung, keputusan terbabit dimuktamadkan setelah persefahaman politik yang termeterai di antara BN bersama parti komponen Perikatan Nasional (PN) selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lepas telah dilanggar Hajiji.
Mengulas lanjut, persefahaman politik tersebut antara lain menyebut ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN-UMNO akan memberi sokongan dan kepercayaan kepada Hajiji untuk dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah.
Ia selagi mana pelantikan ahli jemaah menteri serta lantikan pengerusi syarikat milik kerajaan negeri daripada BN-UMNO seperti termaktub di dalam perjanjian persefahaman politik dihormati.
“Walau bagaimanapun, persefahaman politik tersebut telah dicabuli Hajiji apabila beliau bertindak memecat Datuk Salleh Said
Keruak (ADUN Usukan) daripada
jawatannya sebagai Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad tanpa berunding dengan Pengerusi BN Sabah…
“Kemudian bertindak mengumumkan bahawa satu rombakan jemaah Menteri akan dibuat tanpa berunding terlebih dahulu dengan Pengerusi BN Sabah,” katanya.
Susulan pelanggaran persefahaman politik terbabit, Bung Moktar berkata 18 ADUN BN-UMNO menarik sokongan dan mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap Hajiji.
“Malah, Hajiji bukan lagi ketua parti politik bagi maksud Fasal 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah apabila beliau telah mengisytiharkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) iaitu pihak di dalam perjanjian persefahaman politik.
“Dengan penarikan sokongan kepercayaan ini, Hajiji telah hilang majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan tidak berkelayakan untuk dilantik ke jawatan Ketua Menteri.
“Justeru, bersesuaian dengan kehendak Fasal 6(3) Perlembagaan Negeri Sabah dibaca bersama Fasal 6 (7) Perlembagaan Negeri Sabah, BN-UMNO akan menyembah maklum kepada Yang Di Pertua Negeri Sabah untuk melaksanakan fungsi selaku ketua negeri dengan menyemak pelantikan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, Bung Moktar turut berkata pihaknya berdoa agar kemelut ini dapat diselesaikan segera demi kestabilan, kemajuan dan kemakmuran rakyat.





