Senator Anna Bell Tuntut Kerajaan Perjelas Hak Sabah, Percepat Projek Infastruktur Kritikal

Senator Anna Bell Tuntut Kerajaan Perjelas Hak Sabah, Percepat Projek Infastruktur Kritikal

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Senator Datuk Anna Bell Perian menuntut kerajaan memperjelaskan pelaksanaan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta mempercepatkan projek pembangunan infrastruktur yang kritikal di negeri itu ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata, titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menekankan kemajuan negara, reformasi pentadbiran dan pengukuhan integriti perlu diterjemahkan melalui tindakan yang jelas oleh kementerian, termasuk menyediakan garis masa pelaksanaan projek serta perincian peruntukan kepada rakyat.

Menurutnya, rakyat kini menuntut tahap ketelusan yang lebih tinggi dalam pelaksanaan dasar kerajaan, justeru setiap jawapan kementerian di Dewan Negara sewajarnya disertakan dengan data tepat, sasaran yang boleh diukur dan jadual pelaksanaan yang jelas.

Dalam perbahasannya, Anna Bell turut membangkitkan isu pelaksanaan MA63 khususnya berkaitan semakan semula pemberian khas 40 peratus hasil bersih Sabah seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.

Beliau meminta kerajaan menjelaskan status terkini perkara tersebut serta sama ada formula tetap berasaskan hasil sebenar akan ditetapkan bagi memberikan kepastian fiskal kepada Sabah.

Selain itu, beliau turut menyentuh keperluan memurnikan tafsiran undang-undang berkaitan hak Sabah terhadap pelantar benua dan sumber petroleum supaya selari dengan semangat autonomi negeri seperti yang dipersetujui ketika pembentukan Malaysia.

Dalam isu pembangunan infrastruktur, Anna Bell menuntut penjelasan terperinci mengenai kemajuan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, termasuk peratusan siap bagi setiap pakej Fasa 1B serta tarikh jangka siap terkini.

Menurut beliau, projek tersebut amat penting kerana bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi, malah meningkatkan keselamatan jalan raya serta akses kepada perkhidmatan asas bagi masyarakat di kawasan pedalaman Sabah.

Beliau turut memberi perhatian terhadap isu bekalan air dan elektrik yang sering menjejaskan kehidupan rakyat Sabah dengan meminta kerajaan menyediakan garis masa jelas bagi projek berkaitan termasuk Projek Southern Link serta program penggantian paip usang di Kota Kinabalu dan Tawau.

Dalam aspek pembasmian kemiskinan, Anna Bell membangkitkan keadaan beberapa daerah di Sabah seperti Tongod, Nabawan dan Pitas yang masih berada dalam kategori termiskin di Malaysia.

Beliau meminta penjelasan mengenai kaedah pengagihan peruntukan pembangunan sebanyak RM6.9 bilion di bawah Belanjawan 2026 supaya dilaksanakan secara lebih bersasar bagi merangsang ekonomi luar bandar serta meningkatkan pendapatan isi rumah.

Perbahasan tersebut turut menyentuh agenda pendigitalan negara termasuk keberkesanan projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) yang bertujuan meningkatkan capaian internet di Sabah dan Sarawak, khususnya di kawasan pedalaman.

Dalam aspek keselamatan, beliau menekankan kepentingan memperkukuh operasi keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) melalui penggunaan teknologi moden seperti dron jarak jauh dan kecerdasan buatan bagi menangani ancaman jenayah rentas sempadan.

Selain itu, beliau turut menggesa agar pelaksanaan projek tebatan banjir di kawasan yang kerap terjejas di Sabah dipercepatkan serta memberi perhatian kepada pembangunan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), termasuk penyediaan kemudahan kekal bagi pusat latihan seperti GIATMARA yang telah lama beroperasi tetapi masih tidak mempunyai bangunan sendiri.

Anna Bell menegaskan bahawa kemajuan negara tidak boleh diukur semata-mata melalui pertumbuhan ekonomi, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan sejauh mana manfaat pembangunan sampai kepada rakyat di peringkat akar umbi, khususnya di Sabah.

Beliau turut menekankan bahawa keadilan wilayah perlu menjadi keutamaan dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi merapatkan jurang pembangunan antara Sabah dan wilayah lain secara lebih berkesan.