Program Rumah Wawasan Bantu Bina Semula Rumah Mangsa Kebakaran

Program Rumah Wawasan Bantu Bina Semula Rumah Mangsa Kebakaran

0
SHARE
Arifin
Arifin (dua kiri), Malai (kiri) ketika majlis penyerahan bantuan di Kampung Jambatan Baru ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

MEMBAKUT, SABAH – Sebanyak 11 rumah yang musnah dalam kebakaran sekitar daerah ini akan dibina semula antaranya menerusi Program Rumah Wawasan di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata program berkenaan akan dilaksanakan bermula tahun hadapan melibatkan pembinaan semula rumah di Kampung Baitam, Kampung Madang, Kampung Binsulok dan Kampung Jambatan Baru.

“Rumah Wawasan ini adalah program di bawah DUN Membakut dan kita akan bantu untuk membina rumah bagi mereka, sekiranya ada yang layak kita juga akan masukkan dalam senarai rumah Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Saya akan senaraikan termasuk yang belum kita buat di Kampung Madang dan di Kampung Baitam.

“Ada tiga rumah musnah terbakar melibatkan 12 keluarga isi rumah (KIR) dan setakat ini pada awal tahun di Membakut ada lebih kurang 10 buah rumah yang terlibat dengan kebakaran ini, di sini (Kampung Jambatan Baru), kemudian di Binsulok, Kampung Madang dan lima di Kampung Baitam.

“Kepada mangsa kebakaran yang lebih kurang 11 rumah, jangan khuatir kita akan pastikan mereka mendapat rumah sekurang-kurangnya Rumah Wawasan atau rumah SMJ,” katanya ketika ditemui media semasa Majlis Penyampaian Bantuan Kebakaran Kepada Penduduk Kampung di Kampung Jambatan Baru, pada Ahad.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut memaklumkan bagi mangsa kebakaran di Kampung Baitam yang telah membina semula kediaman, pihaknya akan membantu menambah keperluan bagi menambah baik atau menyempurnakan rumah berkenaan.

“Di Kampung Baitam ada lima buah rumah tetapi ada dua sudah membina semula, apabila sudah dibuat rumah, kita akan tambah keperluan mereka untuk menyempurnakan rumah berkenaan.

“Peruntukan adalah di bawah kerajaan negeri, di bawah DUN, sementara itu tahun ini ada 20 buah rumah peruntukan, mana yang tidak termasuk dalam rumah SMJ, kita masukkan dalam Rumah Wawasan Membakut.

“Insya-Allah kita bantu mereka membangun sebuah rumah yang sederhana tapi nanti mereka akan tambah keperluan, yang penting ada asas rumah berkenaan,” jelasnya.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua MUIS, Datuk Malai Ali Malai Ahmad, Ketua Polis Daerah Beaufort, Supritendan Wong Leong Meng dan Setiausaha MUIS, Ramlan Awang Ali. — JABATAN PENERANGAN SABAH