KOTA KINABALU, SABAH – Mantan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Bugaya, Allahyarham Abdul Aziz Mohd Ibno menerima pingat Ahli Setia Darjah Kinabalu (A.S.D.K), pada Isnin.
Allahyarham diwakili balunya, Asna@Naemah Morobistah menerima pingat kebesaran tersebut pada sesi kelima Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sabah sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-71 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Pada majlis itu, anugerah kebesaran didahului dengan penerima pingat ASDK antaranya Pengarah Arkib Sabah, Shirley Sion dan Timbalan Setiausaha Tetap II Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Alesia Sion.
Turut menerima A.S.D.K ialah Timbalan Peguam Besar Negeri, Suzumaidah Hussain, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Bahagian Tamparuli, Raisin Gagah dan Timbalan Pengarah Klinikal I Hospital Queen Elizabeth I, Dr Yogendra A/L Panchalingam.
Manakala 38 individu menerima pingat Ahli Darjah Kinabalu (ADK) didahului oleh Pegawai Daerah Putatan, Masawi Salleh dan Pegawai Daerah Kota Belud, Peter Jiton.
Anugerah Bintang Setia Kinabalu (BSK) pula menyaksikan 61 penerima antaranya kepada aktivis sosial, Nestor Joannes dan Pegawai Keselamatan Kepada Ketua Menteri Sabah, Koperal Shuhaimi Mursidi.
Bagi Darjah Kebesaran Bintang Kinabalu (BK) pula, penerima pingat berjumlah 79 individu antaranya guru Sekolah Kebangsaan Malawa Sepanggar, Nining Ali, Foo Vun Chung dari Persatuan Hakka Sabah, Pemaju Mukim Lingkudau Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan, Noritah@Melivina Dungkian, Pegawai Penerangan, Peter Tong Ah Pin dan jurufoto, Asmat Oyah.
Turut menerima BK ialah Pegawai Penerangan Daerah (PPD) Keningau, Ag Mamun Ag Saman dan PPD Sipitang, Awangku Shoffian Pg Minggu serta Pembantu Penerangan, Sidin Lahamat.Ketua Pembantu Tadbir di samping Ketua Pembantu Tadbir Pusat Komunikasi Korporat Universiti Malaysia Sabah, Mohd Norazmi Harris.
Pingat Perkhidmatan Terpuji (PPT) pula dianugerahkan kepada 25 individu antaranya penjawat awam, Ag Limudin Hassan dan pekerja swasta, Lim Lan Xin menjadikan keseluruhannya penerima darjah kebesaran seramai 219. — JABATAN PENERANGAN SABAH