
LAHAD DATU, SABAH – Yayasan Petronas menyerahkan 10 aset dialisis kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).
Penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dalam Majlis Perasmian dan Penyerahan Aset Dialisis Yayasan Petronas di Klinik Kesihatan Tungku pada Selasa.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat yang juga Exco Kesihatan Negeri Sabah, Datuk James Ratib berkata sumbangan tersebut bukan sahaja merombak landskap rawatan hemodialisis tetapi juga memberi harapan baru kepada pesakit buah pinggang tahap akhir End Stage Renal Function (ESRF).
“Klinik Kesihatan Tungku telah menerima dua buah mesin dialisis, sebuah mesin Reverse Osmosis, dan sebuah mesin reprocessor bagi memberikan perkhidmatan dialisis di unit hemodialisis klinik ini.
“Selebihnya enam buah mesin dialisis dan sebuah medical fridge di serahkan kepada Hospital Tenom, manakala Hospital Beaufort menerima dua buah mesin dialisis dan sebuah mesin Reverse Osmosis.
“Sesungguhnya, ini memberikan impak positif kepada masyarakat dan para pesakit, saya difahamkan sebanyak 21 pesakit ESRF yang memerlukan rawatan dialisis berasal dari sini dan setakat ini empat pesakit telah mendapatkan rawatan dialisis di klinik ini tanpa sebarang komplikasi,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan JKNS, Datuk Dr. Asit Sanna mengharapkan agar penyerahan mesin tersebut akan memudahkan para pesakit ESRF mendapatkan rawatan tanpa perlu ke pusat bandar.
“Sebelum unit dialisis Klinik Kesihatan Tungku beroperasi, rawatan dialisis hanya terdapat di Hospital Lahad Datu yang lingkungan jarak 70 KM dari sini.
“Dengan jarak yang jauh, para pesakit terpaksa mengeluarkan perbelanjaan untuk mendapatkan rawatan tiga kali dalam seminggu,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, Tun Juhar melalui Yayasan Nur Jauhar (YNJ) turut memberi sumbangan berupa wang tunai dan sekampit beras kepada seratus asnaf terpilih dari kampung berdekatan.
Turut hadir Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Al Hambra Tun Juhar, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Majlis Perasmian dan Penyerahan Aset Dialisis (Petronas) Unit Dialisis Klinik Kesihatan Tungku, Jais Asri, Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen @ Benetty Mohd. Dzul dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Shariah Nelly Francis. — JABATAN PENERANGAN SABAH