25 KIR Mangsa Kebakaran Terima Sumbangan Khas MUIS, PBNS

25 KIR Mangsa Kebakaran Terima Sumbangan Khas MUIS, PBNS

0
SHARE
Arifin
Arifin (dua dari kanan) melawat lokasi kebakaran ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

MEMBAKUT, SABAH – Kesemua 97 mangsa kebakaran daripada 25 Ketua Isi Rumah (KIR) di Kampung Laut Bongawan dekat sini, menerima sumbangan khas berjumlah RM35,000.

Sumbangan tersebut dihulur Majlis Ugama Islam (MUIS) dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) masing-masing dengan jumlah RM25,000 dan RM10,000.

Penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan Dr Daud Yusof.

Turut mengiringi, Timbalan Yang Dipertua MUIS Datuk Malai Ali Malai Ahmad, Pegawai Daerah Membakut Ibrahim Terki dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Jumain Abdul Ghani.

Ketika bercakap kepada media, Arifin memaklumkan, kerajaan akan menyalurkan bantuan kepada mangsa kebakaran termasuk kelengkapan sekolah bagi 37 kanak-kanak yang akan memulakan sesi persekolahan minggu depan.

“Kita amat bersimpati dan semoga mereka yang dilanda ujian Allah SWT ini akan bersabar.

“Selain MUIS, PBNS dan JHEAINS, saya juga merakamkan penghargaan terima kasih kepada semua pihak, orang persendirian, persatuan-persatuan yang turut membantu dan meringankan beban mangsa kebakaran.

“Kita akan mengenal pasti keperluan mereka dan membantu menyalurkan bantuan termasuk kelengkapan persekolahan,” jelas beliau.

Insiden kebakaran yang berlaku kira-kira jam 12 tengah hari pada Isnin, mengakibatkan sembilan buah rumah musnah dijilat api manakala tiga lagi terbakar 50 peratus. — JABATAN PENERANGAN SABAH