Bajet 2023: MBS Gesa Kerajaan Tingkatkan Mekanisme Penggalak Ekonomi Belia Sabah

Bajet 2023: MBS Gesa Kerajaan Tingkatkan Mekanisme Penggalak Ekonomi Belia Sabah

0
SHARE
Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan...

KOTA KINABALU, SABAH – Majlis Belia Sabah (MBS) menggesa kerajaan untuk mempertingkatkan mekanisme penggalak ekonomi khususnya untuk golongan belia di negeri ini.

Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan berkata pihaknya mengambil serius mengenai kebimbangan belia berhubung peningkatan OPR sebanyak dua kali bagi mengawal inflasi dan mengimbangi pertumbuhan ekonomi dalam negara.

Menurutnya, berikutan amaran daripada Bank Dunia bahawa kemelesetan ekonomi secara global akan berlaku pada tahun 2023, pihaknya mengambil peluang untuk menyampaikan permintaan belia bagi pembentangan Bajet 2023 yang bakal dibentangkan.

Mengulas lanjut, berdasarkan rekod di mana pengangguran dikalangan belia Sabah telah mencecah 200,000 dan seramai 45 900 belia Sabah berhijrah ke Semenanjung Malaysia semata-mata mencari pekerjaan.

“Situasi ini merugikan negeri Sabah kerana kehilangan kos tenaga buruh yang ramai. Justeru itu, MBS berharap agar kerajaan memperhebat mekanisme penggalak ekonomi di kalangan belia Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan bertempat di Pejabat Arena Belia Kementerian Belia Dan Sukan Pantai Barat Selatan, di sini, hari ini.

Susulan itu, Abqaree berkata MBS telah menggariskan beberapa langkah sebagai cadangan untuk membantu belia berhadapan dengan kemelesetan ekonomi pada tahun depan.

Sidang media Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan (kiri) bertempat di Pejabat Arena Belia Kementerian Belia Dan Sukan Pantai Barat Selatan Kota Kinabalu…

“Pertama sekali, memperkasa kemampanan ekonomi di kalangan belia. Langkah yang boleh diambil ialah, meningkatkan nilai pemberian tunai sebanyak 50 peratus melalui Bantuan Keluarga Malaysia kepada golongan B40…

“Seterusnya, memperkasa usahawa PKS melalui bantuan dana, pendidikan peningkatan skala pendapatan dan
memperhebat jalinan kerjasama usahawan tempatan dengan pelabur luar…

“Selain daripada itu, menurunkan kos harga rumah kerana menerusi tinjauan MBS, belia tidak mempunyai kemampuan untuk membeli rumah.

“Terakhir sekali, MBS berharap agar kerajaan mampu memperkasa eko-pelancongan di luar bandar kerana antara penyumbang ekonomi terbesar adalah sektor pelancongan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga berkata pihaknya telah melihat pembangunan usahawan belia penting dalam memacu pembangunan ekonomi.

“Langkah awal yang telah diambil ialah memberi pendidikan mengenai penternakan udang dan penanaman cendawan tiram dan cendawan sawit…

“Kajian yang telah dilaksanakan oleh MBS terhadap golongan belia yang tinggal di kawasan bandar membuktikan bahawa belia tidak bersedia berhadapan dengan ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi.

“Dapatan kajian menunjukkan bahawa belia tidak mempunyai simpanan masa depan. Oleh itu, kerajaan harus proaktif dalam memberi kesedaran awam dan pendidikan pengurusan kewangan di kalangan belia,” katanya.