KKR Sabah Alu-Alukan Kuasa Luluskan Projek Sehingga RM50 Juta Kepada Sabah, Sarawak

KKR Sabah Alu-Alukan Kuasa Luluskan Projek Sehingga RM50 Juta Kepada Sabah, Sarawak

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Kerja Raya Sabah mengalu-alukan keputusan kerajaan Persekutuan menyerahkan kuasa melulus projek pembangunan bernilai hingga RM50 juta kepada Sabah dan Sarawak.

Menterinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan perkembangan terbaharu itu sebagai langkah positif yang dapat mempercepatkan program pembangunan Sabah.

Katanya, perkara itu memang sudah lama dinantikan bagi memastikan kerajaan Sabah dapat memutuskan sendiri projek pembangunan tidak melebihi RM50 juta yang perlu dilaksanakan demi kepentingan rakyat negeri ini.

“Saya amat mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri Ini bermakna kerajaan Persekutuan menyerahkan mandat penuh kepada kerajaan negeri untuk menentukan projek pembangunan yang akan dilaksanakannya sendiri.

“Kita sangat berterima kasih kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan atas keputusan yang dibuat berhubung perkara ini. Ia menunjukkan Perdana Menteri memahami kehendak rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengulas keputusan mesyuarat jemaah Kabinet Persekutuan yang dipengerusikan Anwar hari ini, antara lain meluluskan berhubung perkara berkenaan.

Dalam sidang medianya selepas mesyuarat berkenaan, Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata pemberian kuasa kepada kerajaan Sabah dan Sarawak itu bagi memastikan keputusan segera dapat dibuat tanpa perlu kata putus di peringkat Persekutuan.

Katanya, keputusan Kabinet itu selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi memastikan projek yang tertangguh disebabkan keputusan berkaitan perlu dibuat agensi Persekutuan, dapat dilaksanakan dengan segera.

Anwar berkata, pelaksanaannya dibuat dengan mematuhi peraturan kewangan sedia ada tetapi keputusan boleh dibuat kerajaan negeri di Kuching atau Kota Kinabalu berbanding sebelum ini.

Sementara itu, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, turut berharap agar kerajaan Persekutuan dapat menyegerakan peruntukan untuk Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi memastikan pelaksanaannya dipercepatkan.

“Sehubungan dengan ini saya yakin Perdana Menteri akan sentiasa melihat Sabah sebagai sebuah wilayah yang penting untuk dibangunkan secara menyeluruh,” katanya.