KOTA KINABALU, SABAH – Parti Warisan Sabah (WARISAN) melihat keputusan kerajaan Persekutuan memberi autonomi meluluskan projek pembangunan sehingga RM50 juta kepada Sabah dan Sarawak sebagai tanda keprihatinan serta komitmen Perdana Menteri terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pihaknya mengalu-alukan dan menyambut baik berita terbabit.
“Antara perkara berkenaan adalah jaminan bahawa pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak berdasarkan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan akan ditingkatkan.
“Segala keputusan berhubung projek bernilai RM50 juta ke bawah di Sabah dan Sarawak diputuskan oleh negeri masing-masing.
“Ini adalah satu berita baik dan menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan sekarang untuk memartabatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Shafie turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri disamping menyatakan ia merupakan impian rakyat Sabah untuk melihat MA63 dilaksanakan.





