KOTA KINABALU, SABAH – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menafikan dakwaan pihak tertentu yang menyatakan telah memperolehi sokongan lebih separuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk menubuhkan kerajaan negeri baharu.
Setiausaha Agung GRS, Datuk Masidi Manjun menegaskan kedudukan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor kekal sebagai Ketua Menteri yang menerima sokongan majoriti ADUN di negeri ini.
“Sebagai makluman, Datuk Seri Hajiji Noor, Ketua Menteri Sabah telah menerima perakuan dan sokongan daripada majoriti besar ADUN Sabah untuk terus memimpin kerajaan negeri yang ada sekarang…
“Mereka termasuk kesemua tujuh ADUN Pakatan Harapan (PH) Sabah.
“Kami bersedia membuktikan keabsahan sokongan tersebut kepada pihak
yang berwajib apabila dan sekiranya perlu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Dalam pada itu, Masidi turut memberi jaminan kedudukan politik di Sabah kekal stabil dan selamat untuk urusan perniagaan serta pelaburan.





