PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menolak permohonan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Zizie Izette Abdul Samad untuk menyemak keputusan sebelum ini yang mengarahkan mereka membela diri atas tuduhan rasuah pada Khamis.
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Che Ruzima Ghazali berkata ambang semakan tidak dipenuhi dan kuasa tersebut hanya boleh digunakan dalam kes luar biasa dengan bukti jelas berlaku ketidakadilan.
Memetik laporan Free Malaysia Today, mahkamah memutuskan isu dibangkitkan boleh dihujahkan semasa rayuan di Mahkamah Tinggi sekiranya mereka disabitkan oleh Mahkamah Sesyen.
Turut bersidang ialah Hakim Azizul Azmi Adnan dan Ahmad Kamal Shahid.
Perbicaraan dijadualkan berlangsung selama sembilan hari bermula 18 Ogos depan.
Pasangan itu diperintah membela diri pada November lalu atas tuduhan rasuah berkaitan pelaburan RM150 juta Felcra.
Mahkamah Rayuan sebelum ini membatalkan pembebasan mereka oleh Mahkamah Tinggi.
Bung, bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa menerima rasuah berjumlah RM2.8 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual melalui isterinya.
Zizie turut berdepan tiga pertuduhan bersubahat.
Mahkamah Sesyen sebelum ini mendapati wujud kes prima facie terhadap mereka, namun pembebasan oleh Mahkamah Tinggi kemudian dibatalkan selepas rayuan pendakwa raya.






