SPRM Panggil Semula Individu Terlibat Video Tular

SPRM Panggil Semula Individu Terlibat Video Tular

0
SHARE

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil semula semua individu berkaitan siasatan video tular yang sebelum ini dikaitkan dengan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, selepas menerima laporan forensik berhubung rakaman berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, laporan forensik itu telah diserahkan kepada pegawai penyiasat kira-kira seminggu lalu untuk tindakan lanjut.

“Saya telah arahkan pegawai penyiasat untuk memanggil semula semua yang disebut terlibat sama ada yang muncul dalam video, yang menyimpan video itu, atau pihak berkaitan bagi membantu siasatan dan mengesahkan kandungan sebenar video tersebut,” katanya dalam sidang media pada Khamis.

Beliau enggan membuat sebarang spekulasi tentang ketulenan rakaman itu dan menegaskan bahawa siasatan terperinci perlu dijalankan sebelum sebarang kesimpulan dibuat.

“Saya tidak mahu komen sama ada video itu tulen atau tidak. Apa yang penting ialah kita laksanakan siasatan secara adil dan panggil semua yang relevan untuk beri keterangan.

“Timbalan Pendakwa Raya akan menilai laporan forensik bagi menentukan kesahihan video sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan bahawa lapan ADUN Sabah telah memberi kerjasama penuh kepada siasatan apabila dipanggil untuk mengesahkan kandungan beberapa video yang dikaitkan dengan dakwaan rasuah.

Video yang tular sebelum ini mendakwa wujud perbualan berkaitan isu pelesenan mineral di Sabah.

Namun, sumber dalaman menyatakan bahawa kandungan video itu mungkin telah disalah tafsir dan siasatan sedang dijalankan untuk meneliti konteks sebenar.

SPRM mengesahkan bahawa kertas siasatan telah dibuka dan analisis forensik digital sedang dijalankan ke atas bahan bukti bagi memastikan ketelusan dan keadilan semua pihak yang dinamakan.