Warganegara India, Filipina Antara 15 Ditahan Dalam Serbuan Imigresen Sekitar Bandaraya Kota...

Warganegara India, Filipina Antara 15 Ditahan Dalam Serbuan Imigresen Sekitar Bandaraya Kota Kinabalu

0
SHARE

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah telah menjalankan operasi penguatkuasaan di empat buah premis kedai makan di sekitar pusat bandar Kota Kinabalu yang menyaksikan 15 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) berjaya ditahan.

Operasi bermula pada 7 malam Rabu itu diketuai oleh Pengarah JIM Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof bersama Pengarah Bahagian Pengurusan Depot dan Tahanan Rosmaliza Mohamed Rashid dan Pengarah Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA Asani Ladjani dengan kekuatan anggota seramai 63 pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Penguatkuasa seluruh Negeri Sabah.

“Seramai 64 individu telah diperiksa dan hasil pemeriksaan ini, seramai 15 Pendatang Asing Tanpa Izin ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen. Mereka yang ditahan terdiri daripada warganegara India dan Filipina.

“Antara kesalahan yang dikesan termasuk tiada dokumen pengenalan diri dan melanggar syarat Pas. Kesemua PATI telah dibawa ke Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Beliau JIM akan terus melaksanakan operasi secara berterusan bagi mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar undang-undang imigresen.

“Pihak majikan diingatkan agar tidak menggaji, melindungi atau menyembunyikan PATI kerana tindakan tegas akan diambil di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” tegasnya.