AirAsia Lancar Laluan Baharu ke Batam Dan Riau, Pacu Perdagangan dan Pelancongan

AirAsia Lancar Laluan Baharu ke Batam Dan Riau, Pacu Perdagangan dan Pelancongan

0
SHARE

BATAM: AirAsia Malaysia bersiap membuka laluan baharu dari Kuala Lumpur ke Batam yang akan beroperasi setiap hari bermula 13 Mac 2026, inisiatif yang dijangka merancakkan sektor perdagangan dan pelancongan di Wilayah Kepulauan Riau, Indonesia.

Laluan ini akan mempertingkatkan kesalinghubungan antara Kuala Lumpur dan Batam, sebuah hab yang semakin berkembang dalam sektor perniagaan dan pelancongan, sekali gus memperkukuh hubungan antara destinasi utama di Malaysia dan Indonesia.

Malaysia telah menjadi salah satu pasaran utama pelancong ke Batam, menyumbang lebih 25 peratus daripada jumlah ketibaan pelancong asing antara Januari hingga Ogos 2025.

Penerbangan harian ini dijangka akan merangsang perjalanan rentas sempadan serta menyokong pertumbuhan sektor pelancongan Batam dan seluruh Kepulauan Riau.

Sepanjang tahun 2025, ketibaan penumpang antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Hang Nadim meningkat hampir 140,000 orang, atau 64 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Dengan pelancaran laluan baharu ini, AirAsia menjangkakan lebih 22,000 penumpang akan terbang ke dan dari Batam dalam tiga bulan pertama operasi.

Laluan baharu ini juga menandakan satu lagi pencapaian penting apabila rangkaian AirAsia kini merangkumi 19 laluan antara Malaysia dan Indonesia, sekali gus mengukuhkan peranan syarikat sebagai penghubung utama antara kedua-dua negara.

Menurut Pengurus Besar AirAsia Malaysia, Dato’ Kapten Fareh Mazputra, Batam bukan sahaja merupakan pintu masuk strategik bagi perdagangan dan pelaburan, malah destinasi istimewa dengan kepelbagaian budaya serta tarikan pelancongan termasuk seni bina ikonik, pantai yang indah dan tapak bersejarah.

Dengan tambang promosi bermula daripada RM169 satu hala dari Kuala Lumpur ke Batam dan IDR899,000 satu hala dari Batam ke Kuala Lumpur, syarikat berharap dapat menawarkan kesalinghubungan yang lebih berpatutan bagi para pelancong dan usahawan.

Tambang promosi ini boleh ditempah melalui aplikasi AirAsia MOVE dan laman web rasmi syarikat untuk tempoh perjalanan dari 13 Mac hingga 24 Oktober 2026.