KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengeluarkan sebanyak 16 kompaun melibatkan jumlah keseluruhan RM1,870 dalam Operasi Bersepadu ‘Compound On The Spot’ yang diperluaskan ke sekitar Kampung Air pada 12 Februari lalu.
Operasi bersepadu itu melibatkan pemeriksaan terhadap 16 premis kedai bagi memastikan pematuhan terhadap Undang-undang Kecil (UUK) yang berkuat kuasa di bandar raya ini.
Daripada jumlah kompaun yang dikeluarkan, sembilan (9) kompaun adalah di bawah UUK Bandaraya Kota Kinabalu (Anti Sampah Sarap) 1984, Pindaan 2005, manakala tujuh (7) lagi kompaun di bawah UUK Premis Makan dan Makanan 1966, Pindaan 2003.
Operasi berkenaan membabitkan 18 anggota daripada pelbagai jabatan DBKK, termasuk Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya.
Menurut DBKK, peluasan operasi ke kawasan tumpuan perniagaan seperti Kampung Air adalah sebahagian daripada usaha berterusan bagi mempergiat pemantauan serta meningkatkan tahap pematuhan undang-undang dalam kalangan pemilik premis.
Kerjasama antara jabatan-jabatan terlibat akan terus diperkukuh dari semasa ke semasa bagi memastikan aspek kebersihan, keselamatan makanan dan pengurusan sisa pepejal sentiasa berada pada tahap yang memuaskan demi kesejahteraan warga bandar raya ini.






