MAFFI Gerak Pegawai Turun Padang Pantau Kerosakan Sektor Pertanian Akibat Banjir

MAFFI Gerak Pegawai Turun Padang Pantau Kerosakan Sektor Pertanian Akibat Banjir

0
SHARE

TENOM: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) akan memastikan setiap pegawai di bawah agensinya turun padang ke kawasan terjejas banjir di Sabah termasuk Tenom, Nabawan, Sook, Tongod, Sipitang, Beaufort dan Pitas bagi memantau keadaan semasa, menilai tahap kerosakan sektor pertanian serta menyelaras bantuan segera kepada petani, penternak dan nelayan yang terjejas.

Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, pendekatan turun padang ini penting bagi memastikan maklumat kerosakan tanaman, ternakan dan infrastruktur pertanian dapat dikumpulkan secara tepat dan menyeluruh.

Beliau menegaskan langkah itu membolehkan proses penyaluran bantuan dan pelaksanaan langkah pemulihan dijalankan dengan lebih cepat dan berkesan.

Jamawi yang juga ADUN Melalap berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Seri Panglima Antanom dan Dewan SJKC Chung Hwa bagi meninjau keadaan mangsa yang terjejas akibat banjir.

Menurutnya, lawatan tersebut turut memberi peluang beliau berinteraksi dengan mangsa serta memahami keperluan mereka secara langsung.

Jamawi berkata, kementerian turut bekerjasama dengan agensi berkaitan di peringkat daerah bagi memastikan bantuan seperti bekalan makanan ternakan, benih tanaman dan sokongan teknikal dapat disalurkan dengan segera dan berkesan kepada semua kawasan terlibat.

Katanya, bantuan itu merangkumi daerah di Pantai Barat dan Pedalaman yang terkesan akibat keadaan cuaca tidak menentu.

Selain itu, beliau menekankan kepentingan pemantauan berterusan terhadap kawasan pertanian bagi mengesan kerosakan lebih awal.

Langkah tersebut, katanya, membolehkan pejabat pertanian daerah menyediakan bantuan bersasar serta mengelakkan kehilangan hasil pertanian yang lebih besar.

MAFFI turut menasihatkan pengusaha pertanian supaya sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengambil langkah keselamatan sewajarnya sepanjang musim tengkujuh.

Mereka juga digalakkan melaporkan sebarang kerosakan atau ancaman banjir kepada pejabat pertanian daerah bagi membolehkan tindakan susulan diambil segera.

Jamawi menambah Kerajaan Negeri komited untuk memulihkan sektor pertanian di kawasan terjejas banjir agar pengusaha pertanian, penternak dan nelayan dapat kembali beroperasi secepat mungkin.

Menurutnya, usaha itu dijangka membantu mengurangkan impak ekonomi terhadap komuniti luar bandar yang bergantung sepenuhnya kepada sektor pertanian dan perikanan.

Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan kerjasama antara kementerian, agensi berkaitan dan komuniti tempatan menjadi kunci dalam menghadapi musim tengkujuh.

“Akhir sekali, pendekatan kerjasama antara kementerian, agensi berkaitan dan komuniti tempatan adalah kunci bagi menghadapi musim tengkujuh ini. Semua pihak perlu sentiasa bersedia dan peka terhadap sebarang amaran awal bagi memastikan keselamatan nyawa serta kelangsungan ekonomi penduduk luar bandar terjamin,” katanya.