IPOH, PERAK – Polis telah menahan EMPAT (4) daripada tujuh orang pelajar yang merupakan suspek kepada kes buli rakan sekolah di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar petang tadi.
Ini ekoran daripada tular sebuah video di media sosial hari ini menunjukkan seorang pelajar telah dibuli oleh sekumpulan pelajar di sekolah yang sama.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, keempat-empat pelajar berusia 13 tahun itu ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar antara pukul 6 hingga 7 petang hari ini.
“Empat pelajar telah ditahan petang tadi untuk siasatan lanjut,” katanya.
Terdahulu Mior Farid memberitahu, kertas siasatan kes tersebut dibuka di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 233 Akta komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Beliau berkata, kesemua TUJUH (7) orang pelajar dan seorang mangsa yang juga seorang pelajar berusia 13 tahun telah dikenal pasti dan mereka dipanggil bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan.
Tambah beliau, turut dipanggil untuk dirakam percakapan ialah pemilik akaun media sosial yang menularkan video kejadian itu.
“Siasatan awal yang dilakukan mendapati kejadian itu berlaku semalam antara pukul 1 hingga 2 pagi melibatkan tujuh suspek remaja dan seorang mangsa…
“Satu laporan polis telah dibuat oleh pengetua sekolah berkenaan hari ini ekoran penularan video pergaduhan yang mendapat perhatian ramai,” jelasnya.