Banjir: Jumlah Mangsa Meningkat Kepada 3,617 Babit Lima Daerah Setakat Tengah Hari...

Banjir: Jumlah Mangsa Meningkat Kepada 3,617 Babit Lima Daerah Setakat Tengah Hari Ini

0
SHARE

KOTA KINABALU: Jumlah mangsa terjejas banjir telah meningkat seramai 3,617 penduduk setakat tengah hari ini, daripada 2,288 pada awal pagi tadi yang membabtikan lima daerah di negeri ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah (JPBN) Sabah dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kesemua jumlah mangsa itu terdiri daripada 1,265 Ketua Isi Rumah (KIR).

Dalam pada itu, sebanyak 17 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih dibuka melibatkan daerah Beaufort, Membakut, Sipitang, Sook dan Tenom, manakala Pitas telah ditutup sepenuhnya.

JPBN Sabah dalam kenyataan memaklumkan, daripada jumlah keseluruhan itu, daerah Tenom merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,848 orang daripada 647 KIR, diikuti Beaufort (948 mangsa, 292 KIR), Sipitang (421 mangsa, 176 KIR), Membakut (321 mangsa, 125 KIR) dan Sook (79 mangsa, 25 KIR), manakala Pitas mencatatkan sifar mangsa selepas PPS ditutup.

“Data di PPS menunjukkan peningkatan jumlah mangsa di beberapa daerah terjejas khususnya Beaufort, Membakut dan Tenom. Setakat ini, tiada kematian dilaporkan akibat bencana banjir,” menurut JPBN Sabah dalam laporan berkenaan.

JPBN itu turut memaklumkan, keseluruhan 146 kampung dikenal pasti terjejas akibat banjir berdasarkan laporan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah.

Daripada segi pecahan demografi mangsa yang berada di PPS, laporan menyatakan 1,032 lelaki dan 1,220 perempuan dewasa/warga emas terjejas, selain 681 kanak-kanak lelaki dan 684 kanak-kanak perempuan.

JPBN Sabah memaklumkan pemantauan berterusan dilaksanakan oleh agensi keselamatan dan penyelamat di semua daerah terlibat bagi memastikan kebajikan mangsa serta keadaan di lapangan sentiasa terkawal.

Orang ramai dinasihatkan agar terus mematuhi arahan pihak berkuasa dan mendapatkan maklumat sahih melalui saluran rasmi Pusat Kawalan Bencana Negeri Sabah (SDCC) dari semasa ke semasa.