LAHAD DATU: Cubaan menyeludup 24 batang kayu disyaki hasil curi gagal apabila dua bot berjaya dipintas dalam operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Lahad Datu, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, anggota Maritim Malaysia Zon Lahad Datu mengesan dua bot kayu tanpa nombor pendaftaran pada jarak 0.5 batu nautika tenggara muara Sungai Sepagaya ketika rondaan Op Pluto Timur 2/2013 dan Op Tiris 3.0 hasil maklumat risikan.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa, kedua-dua bot berwarna merah jambu dan hijau itu memecut laju sebelum melarikan diri ke kawasan paya bakau.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan empat batang kayu bakau dan 20 batang kayu potong di dalam kedua-dua bot berkenaan. Kesemua kayu dipercayai dibawa tanpa permit sah dan disyaki hasil curi,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes disiasat mengikut Enakmen Hutan 1968 kerana membawa hasil hutan tanpa kebenaran serta Kanun Keseksaan atas kesalahan memiliki dan membawa barangan curi.
Nilai keseluruhan rampasan termasuk dua bot dianggarkan RM8,000. Semua barang kes dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk tindakan lanjut.
Maritim Malaysia menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pencerobohan sumber hutan dan jenayah maritim di perairan negara.






