Isteri Maut, Suami Tunggang Motosikal Cuba Potong Lori

Isteri Maut, Suami Tunggang Motosikal Cuba Potong Lori

0
SHARE
Ipd
Keadaan lokasi kemalangan ( Sumber Foto: Ihsan IPD KK )

KOTA KINABALU, SABAH – Seorang pembonceng wanita maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan berhampiran sebuah bengkel di Jalan Pulutan di Menggatal, di sini pada Isnin.

Susulan kejadian 8.20 pagi itu, mangsa berusia 34 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Likas dua jam kemudian akibat kecederaan di kepala.

Pemangku Ketua Polis Kota Kinabalu, Supt Kalsom Idris berkata, penunggang motosikal merupakan suami mangsa.

“Lelaki berusia 29 tahun itu masih menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth.

“Kedua-dua pemandu lori dan sebuah Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Kalsom berkata, siasatan awal mendapati pemandu lori berusia 47 tahun itu menuju ke sebuah bengkel dari Kampung Pulutan.

“Ketika dia membelok ke kanan ke dalam bengkel, pasangan yang mengekori di belakang dipercayai cuba memotong.

“Kemalangan itu mengakibatkan kedua-dua mangsa tercampak, terbabas di belakang Hilux di lorong bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Siasatan diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Jalan dan Pengangkutan 1987.