Sabah Terbuka Kepada Pelaburan Bahan Api Penerbangan Mampan

Sabah Terbuka Kepada Pelaburan Bahan Api Penerbangan Mampan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pengerusi Invest Sabah Berhad, Datuk Roger Chin berkata Sabah mengalu-alukan rakan kongsi yang berwibawa, berpandangan jangka panjang serta komited terhadap prinsip kelestarian dalam pembangunan bahan api penerbangan mampan (SAF) dan industri tenaga lestari.

Menurut beliau, peranan Invest Sabah adalah untuk memudah cara perbincangan, menyelaras kerjasama antara agensi serta memastikan pelabur yang serius dapat berurusan dengan Kerajaan Negeri secara cekap dan bertanggungjawab.

“Invest Sabah Berhad berperanan untuk memudah cara perbincangan, menyelaras antara agensi dan memastikan pelabur yang serius dapat berurusan secara cekap dan bertanggungjawab dengan pihak negeri,” katanya.

Roger turut menegaskan bahawa semua pelaburan akan dinilai secara teliti dari segi komersial, peraturan serta kesan terhadap alam sekitar dan sosial.

“Sebarang pembangunan masa depan akan tertakluk kepada proses penilaian yang sewajarnya serta selaras dengan keutamaan alam sekitar, sosial dan ekonomi Sabah,” katanya.

Beliau berkata Sabah melihat SAF sebagai keutamaan strategik serantau susulan peningkatan permintaan penerbangan di ASEAN dan keperluan untuk mengurangkan pelepasan karbon, dengan negeri itu berpotensi memanfaatkan sumber biojisim seperti sisa kelapa sawit dan pertanian.

“Sabah melihat peluang untuk memainkan peranan membina dalam menangani kekurangan bekalan SAF dengan memanfaatkan sumber biojisim, kedudukan geografi dan potensi perindustrian yang ada,” katanya.

Beliau menambah, kehadiran SEASAF di Kota Kinabalu berpotensi menjadikan Sabah sebagai pusat perbincangan dasar, penyelarasan industri dan kerjasama serantau dalam pembangunan bahan api penerbangan mampan.