180 Geran Tanah Adat Negeri Diserahkan Kepada Penduduk di Beluran

180 Geran Tanah Adat Negeri Diserahkan Kepada Penduduk di Beluran

0
SHARE

BELURAN: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menyerahkan 180 geran tanah adat negeri (Native Title(NT)) kepada penduduk kampung membabitkan Mukim Kolapis, Pulau Klagan dan Sapi, meliputi keluasan keseluruhan 297.830 hektar (735.937 ekar).

Penyerahan itu disempurnakan beliau selepas merasmikan Pesta Labuk Beluran 2025 di Tapak Tamu FAMA, Pekan Beluran pada Sabtu.

Hajiji berkata, pemberian geran itu membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan rakyat, khususnya di luar bandar, menikmati kesejahteraan dan jaminan hak milik tanah.

Selain itu, Ketua Menteri turut meminta Yayasan Sabah meneliti permohonan penduduk di kawasan ini mengenai tanah milik yayasan itu yang sudah diduduki berpuluh tahun, dapat diberi kepada penduduk kampung.

“Mereka mahu tanah yang diduduki sekian lama, berpuluh tahun, ada termasuk dalam kawasan Yayasan Sabah, jadi saya minta Yayasan Sabah meneliti perkara ini dan kalau boleh kita bagi kepada orang kampung sebagai rizab kampung.

“Kita adalah kerajaan yang prihatin, yang ingin melihat bahawa hidup rakyat kita terjamin, kedudukan mereka di kampung-kampung sama ada masuk di tanah kerajaan atau sebagai setinggan perlu kita selesaikan,” katanya ketika berucap menyempurnakan majlis.

Katanya lagi, kedudukan penduduk yang sudah lama menduduki tanah kerajaan sebagai setinggan perlu dilihat dan difikirkan oleh kerajaan atau Yayasan Sabah dengan mengagihkan sebahagian tanah sebagai rizab kampung yang sah.