KOTA KINABALU: Seorang lagi penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Lintas berhampiran pusingan-U simpang Starbucks pada Rabu malam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Syed Ab Rahman, mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian pada jam kira-kira 7.35 malam membabitkan sebuah kereta Toyota Camry dan sebuah motosikal jenis Aveta.
“Siasatan awal mendapati kereta yang datang dari arah Kolombong menuju ke City Mall telah membuat pusingan-U sebelum dilanggar motosikal yang bergerak lurus dari arah bertentangan menuju ke Kolombong.
“Pelanggaran berlaku di bahagian sisi kiri pintu penumpang hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 8.40 malam ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth II, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau menambah seorang individu telah ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beberapa kes kemalangan maut pernah dilaporkan di lookasi pusingan-U berkenaan sebelum ini, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan dan keperluan penambahbaikan infrastruktur di kawasan tersebut.






