KOTA KINABALU, SABAH – Hasrat UMNO Sabah ingin menumbangkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Sabah bagi membentuk kerajaan baharu pada PRN-17 bukan satu perkara yang mudah untuk dilakukan.
Menurut Penganalisis Politik Borneo Merdeka Centre, Baharuddin Yamani dalam satu kenyataan berkata, keinginan UMNO Sabah mahu menubuhkan kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang bukanlah perkara yang mudah.
Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam satu kenyataan sebelum ini yang turut disiarkan oleh portal SabahNews berkata UMNO menetapkan sasaran untuk kembali memerintah negeri ini selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.
Ketua UMNO Sabah itu berkata lagi, beliau kini memberi tumpuan penuh terhadap usaha mempersiapkan parti berkenaan bagi menghadapi PRN.
Baharuddin ketika diminta mengulas perkara ini berkata “UMNO Sabah ketika ini dilihat semakin lemah selepas parti itu membuat keputusan bekerjasama dengan Parti Warisan Sabah”.
Menurut Baharuddin, keputusan Bung Moktar berkerjasamasa dengan Parti Warisan Sabah juga dilihat sebagai strategi memakan diri dan tindakan ramai pemimpin UMNO sebelum ini keluar parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah juga akan memberi kesan besar kepada UMNO.
“Selain itu faktor kekuatan Hajiji mengatasi populariti Bung dan Shafie juga menjadi salah satu penyebab.
Secara faktanya, Hajiji sebenarnya telah berjaya mengemudi Sabah dengan begitu baik. Sebagai contoh ekonomi di Sabah semakin meningkat naik walaupun ekonomi serantau belum pulih sepenuhnya,” tambah beliau.
Jelas beliau, rezab kewangan negeri pula berjaya ditambah ke angka hampir RM 7 billion dan ini adalah satu jumlah yang besar dan membanggakan, malah jumlah ini jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain di Malaysia.
Jumlah perdagangan Negeri Sabah pada tahun 2022 berjumlah RM118.1 billion berbanding tahun sebelumnya RM87.2 billion.
“Malahan kesan paling besar adalah kadar pengangguran telah berjaya dikurangkan hasil daripada pelabur luar datang ke Sabah…
“Sebagai contoh paling ketara apabila kilang pembuatan kerajang tembaga, SK Nexilis di KKIP dengan pelaburan berjumlah RM4.2 bilion dan pembinaan kilang pembuatan kaca solar di KKIP sedang dalam pembinaan telah menawarkan perkerjaan kepada ribuan anak-anak Sabah untuk bekerja,” jelasnya.
Selain itu, Baharuddin mengingatkan UMNO Sabah juga tidak seharusnya memandang ringan keupayaan GRS ketika ini.
“Mereka mungkin hanya melihat kepada Parti Gagasan Rakyat Sabah yang baru ditubuhkan.
“Sebaliknya mereka mungkin terlupa bahawa majoriti pimpinan Parti Gagasan Rajyat Sabah dibarisi oleh wakil rakyat lama yang sentiasa menang apabila pilihan raya diadakan di Sabah.
“Jumlah 13 kerusi tradisi boleh menang oleh Parti STAR dan PBS mewakili GRS juga salah satu sebab penghalang kepada hasrat UMNO dan Warisan itu memerintah Sabah selepas PRN-17,” berkata lagi.