Lelaki Didenda RM15,000, Ambil Dan Guna Diesel Melebihi Had Kuantiti

Lelaki Didenda RM15,000, Ambil Dan Guna Diesel Melebihi Had Kuantiti

0
SHARE
Foto: KPDN Sabah

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan telah dijatuhkan hukuman denda RM15,000 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda di Mahkamah Seksyen 2 Kota Kinabalu pada Rabu (27 Mac) atas kesalahan mengambil dan menggunakan minyak diesel melebih had kuantiti.

Hukuman tersebut dijatuhkan oleh Hakim,Elsie Primus terhadap tertuduh, Mohd Mazlan Emarula dan memutuskan agar hasil jualan minyak diesel sebanyak RM13,437.50 dirampas dan dilucuthak lalu dijadikan hasil kerajaan.

Menurut fakta kes, kesalahan dilakukan pada 19 Mei 2023 kira-kira jam 4 pagi di Stesen Minyak Petron Minitod, Penampang dan tertuduh telah ditahan oleh pihak polis bersama barang kawalan berjadual, iaitu minyak diesel sebanyak 6,250 liter yang berada di dalam tangki tiga buah lori. 

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah, Georgie Abas berkata, tertuduh telah didakwa di mahkamah kerana telah menimbulkan syak munasabah bahawa ianya telah melakukan kesalahan melanggar Peraturan 18(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021.

“Dalam perjalanan perniagaan telah menggunakan dan mengambil Barang Kawalan Berjadual minyak diesel melebihi had kuantiti 20 liter yang dinyatakan dalam Ruang 2 jadual Bahagian IV Peraturan yang sama.

“Sehubungan itu tertuduh dituduh melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawak Seksyen 22(1) Akta yang sama,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Tambah beliau, kejayaan ini adalah mencerminkan kerjasama erat pihak KPDN Sabah dengan agensi-agensi penguatkuasa lain yang setakat ini telah menghasilkan 67 serahan kes sejak Januari hingga 28 Mac 2024 dengan nilai rampasan lebih Rm2.014 juta daripada pelbagai Agensi Penguatkuasaan termasuklah PDRM, PPM, PGA, ATM dan JKDM. 

“Kesemua kes-kes tersebut masih dalam proses siasatan.

“Bagi tempoh yang sama, KPDN Sabah telah mendaftar sebanyak 14 kes di Mahkamah dan 6 kes telah selesai pendakwaan dengan jumlah denda sebanyak RM37,500, sementara 8 kes masih dalam prosiding mahkamah,” katanya.