KOTA MARUDU: Seorang maut, manakala lima lagi mangsa mengalami kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan pertembungan dua kenderaan, iaitu Mitsubishi Triton dan Proton Saga di Jalan Manggaris Kota Marudu pada pagi Ahad.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, PBK Gabuh Maradan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan tersebut pada jam 8.54 pagi.
Sepasukan anggota bomba kemudian digerakkan ke lokasi sejauh 15 kilometer (km) dari BBP Kota Marudu.
“Terdapat seorang mangsa tersepit dalam kereta Proton berjaya dikeluarkan pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Manakala, pemandu dan penumpang Triton mengalami cedera ringan dan telah dihantar ke Hospital Kota Marudu untuk tujuan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Setelah pemeriksaan bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi, operasi kemudian ditamatkan pasukan bomba pada jam 9.40 pagi.