Dua Anggota Maritim Malaysia Cedera Terkena Tembakan Semasa Operasi Pagar Laut

Dua Anggota Maritim Malaysia Cedera Terkena Tembakan Semasa Operasi Pagar Laut

0
SHARE
Anggota Maritim Malaysia yang cedera di mata terkena tembakan

LAHAD DATU: Dua anggota penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu cedera selepas berhadapan kejadian tembak menembak di perairan Kunak pada kira-kira jam 8.40 pagi, Ahad.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Ts. Dr. Suzanna Razali Chan berkata, mangsa terbabit ialah, Bintara Muda Maritim Zainal Abad Komel, 45 tahun yang juga ketua bot Banggi 48 cedera di mata kanan. 

“Manakala, seorang lagi kru bot yang sama, Laskar Kanan Maritim Prayrie De Cuella Jimin, 35 tahun cedera di kedua-dua belah tangan ketika sedang bergelut membalas dengan pihak penjenayah. 

“Empat lagi anggota penguat kuasa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Jelas beliau, berdasarkan laporan awal, seramai tiga orang suspek bersenjatakan pistol telah melepaskan empat das tembakan ke arah Bot Banggi 48 ketika bot berkenaan cuba menghampiri sebuah bot enjin sangkut berwarna biru yang dinaiki suspek untuk tindakan pemeriksaan bagi Op Khas Pagar Laut di kedudukan 0.2 batu nautika timur laut Kampung Pangi, Kunak.

“Apabila pasukan peronda cuba menghampiri, suspek telah bertindak melepaskan tembakan bagi mengelakkan daripada anggota bot peronda Maritim Malaysia menghampiri mereka.

“Suspek kemudiannya berjaya melepaskan diri dengan membawa bot tersebut,” katanya.

Berikutan kejadian terbabit, Maritim Malaysia telah mengatur gerakan Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat, pesawat udara, Bahagian Perisikan Maritim serta pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) ke lokasi terbabit bagi menyiasat kes ini dan mengesan kesemua suspek terlibat.

Dalam pada itu, kedua-dua anggota Maritim Malaysia yang cedera telah dibawa ke Hospital Kunak bagi rawatan segera.