TEMERLOH: Seramai 140 mahasiswa Sabah dan Sarawak di Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima suntikan semangat baharu dalam bidang keusahawanan apabila Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menghoskan Majlis Makan Malam bersama Sekretariat Mahasiswa Anak Sabah Sarawak (SMASS) di sini, semalam.
Dalam ucapannya, Ewon berharap para mahasiswa dapat menamatkan pengajian dengan cemerlang serta menjadi kebanggaan keluarga dan negeri, seterusnya berperanan membangunkan Sabah dan Sarawak selari aspirasi memacu pembangunan negara secara keseluruhan.
Beliau turut menyarankan mahasiswa agar tidak hanya mengejar kerjaya dalam sektor awam atau swasta, tetapi turut berani meneroka ruang dalam dunia keusahawanan.
Pada majlis tersebut, Ewon turut menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada SMASS sebagai sokongan kepada pelaksanaan aktiviti dan program kampus.
Beliau juga berkongsi pelbagai program dan inisiatif Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di bawah Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (PROTÉGÉ) yang merangkumi pembangunan usahawan siswazah, pembudayaan keusahawanan, peningkatan kebolehpasaran graduan serta latihan profesional.
Menurut beliau, di bawah RMKe-12, Sekretariat PROTÉGÉ telah melaksanakan 10 program melibatkan mahasiswa dan graduan merangkumi aspek kebolehpasaran dan keusahawanan bagi mengukuhkan skil individu, meningkatkan daya saing dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan relevan dengan permintaan industri.
Presiden SMASS UMP, Nayli Batrisya Syahirah Johan dan Timbalan Presiden SMASS UMP, Muhamad Faisal Rachman, menzahirkan penghargaan atas komitmen dan sumbangan Ewon yang disifatkan sebagai dorongan bermakna dalam memperkasa mahasiswa anak Sabah dan Sarawak di UMP untuk terus aktif melaksanakan program dan kegiatan pembangunan pelajar.






