SEMPORNA: Keselamatan perairan di Pantai Timur Sabah bakal diperkukuhkan secara signifikan dengan penyerahan Projek Siap Pangkalan Maritim Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Semporna bernilai RM65.28 juta.
Pangkalan ini dijangka akan menjadi pusat operasi hadapan (Forward Operation Base) utama dalam mempercepat tindak balas keselamatan dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Zon ESSZone.
Penyerahan rasmi projek tersebut disaksikan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, hasil kerjasama strategik antara Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Projek yang dilaksanakan Pasukan Projek Khas 2 (PPK2) JKR bersama kontraktor utama Prinsip Hasil Sdn. Bhd ini bermula pada 30 Januari 2020 menggunakan kaedah Konvensional Perunding.
Walaupun tarikh siap penuh dijadualkan pada 19 Jun 2026, komponen bangunan daratan berjaya disiapkan lebih awal dan diserahkan secara separa pada 29 September 2025, melibatkan pelbagai fasiliti pentadbiran dan sokongan termasuk Blok Pentadbiran, Rumah Bot, Blok SESB, Pondok Pengawal, Rumah Pam, Garaj, Rumah Sampah, Menara Tangki Air dan lain-lain kemudahan teknikal berkaitan.
Fasa marin melibatkan pembinaan Access Bridge sepanjang 165 meter dan Jetty Head sepanjang 100 meter yang dijangka siap pada Julai 2026.
Apabila beroperasi sepenuhnya, pangkalan ini akan meningkatkan keberkesanan kawal selia maritim, mempercepat masa respons rondaan keselamatan, memperkukuh kesiapsiagaan taktikal, serta membantu menangani ancaman jenayah rentas sempadan di perairan ESSZone.
Pada masa yang sama, kewujudan pangkalan ini dijangka memberi impak berganda terhadap pembangunan sosioekonomi Semporna dan sekitarnya, khususnya menerusi sektor pelancongan, perikanan dan perdagangan yang lebih diyakini pelabur dan pengunjung apabila tahap keselamatan perairan dipertingkatkan.
KKR turut menzahirkan penghargaan kepada KDN di atas kerjasama erat sepanjang pelaksanaan projek serta menyeru kontraktor untuk memastikan pelaksanaan lengkap dan pemantauan pasca penyerahan (DLP) terus dipatuhi.
Projek ini menjadi penanda aras baharu dalam pengurusan projek berimpak tinggi ke arah penyiapan infrastruktur strategik yang lebih efisien, berkualiti dan menepati masa selari aspirasi Kerajaan MADANI demi kesejahteraan rakyat dan keselamatan negara.






